Penganjuran Sukan Komanwel 2026 dibincang di Kabinet minggu depan
KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada Malaysia akan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 atau tidak, dijangka dibawa untuk perbincangan di Kabinet pada minggu depan, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hannah berkata, pada masa ini, beliau tidak mahu mendahului perbincangan Kabinet, namun beliau yakin bahawa Kerajaan Perpaduan akan memberi pertimbangan sewajarnya, berhubung perkara berkenaan.
"Ada banyak maklum balas di luar sana, semua beri pandangan masing-masing tetapi saya beri jaminan bahawa kerajaan ini sangat bertanggungjawab dengan setiap ringgit duit rakyat.
"Kita (Kerajaan Perpaduan) akan pastikan setiap perbelanjaan yang kita nak lakukan ini, mesti mendatangkan hasil kepada negara,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Nasib Sukan Komanwel 2026 masih menjadi tanda tanya selepas Victoria di Australia, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu, menarik diri pada Julai tahun lepas kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 hingga 29 Mac 2026.Dari 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.
Sementara itu mengulas laporan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menolak tawaran rasmi menganjurkan Piala Thomas dan Piala Uber 2026, Hannah menjelaskan BAM tidak menolak tawaran itu sebaliknya persatuan tersebut tidak berhasrat untuk membuat bidaan.
"Kekeliruan berlaku pada 12 Mac, apabila PJS (Pesuruhjaya Sukan) mendakwa bahawa BAM menolak tawaran tersebut dan ia tidak benar sekali. BAM, mereka tidak berhasrat untuk membuat bidaan, jadi tidak timbul mereka menolak tawaran,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!