Tular bom ikan: Polis belum terima laporan

Tangkap layar video tular di media sosial mengenai aktiviti menangkap ikan yang dikatakan mencurigakan. Gambar kecil: Zulkifli
Tangkap layar video tular di media sosial mengenai aktiviti menangkap ikan yang dikatakan mencurigakan. Gambar kecil: Zulkifli
A
A
A

GERIK - Polis belum menerima laporan berkaitan penularan video mendakwa berlaku kegiatan mengebom ikan oleh sekumpulan lelaki di sebuah sungai di sini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, buat masa ini, pihaknya hanya mengesan paparan di media sosial berkaitan aktiviti penangkapan ikan yang disyaki menggunakan bahan letupan tersebut.

"Setakat ini, kita belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian itu.

"Bagaimanapun pada 11 Mac lalu sekitar jam 3 petang, polis bersama sepasukan Renjer Hutan pergi menjejaki tempat kejadian dan menemukan kawasan sebagaimana yang ditularkan itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil pemerhatian mendapati, kawasan terlibat merupakan pertemuan kuala Sungai Mangga dan Sungai Senga dalam Hutan Simpan Temengor, Hulu Perak.

Katanya, dalam kes itu, mana-mana kumpulan atau individu yang memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit daripada Jabatan Perhutanan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1985).

"Bagi mereka yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram pula menyalahi Akta Perikanan 1992 kerana melakukan apa-apa kesalahan di dalam kawasan hutan simpan yang diwartakan," katanya.

Zulkifli berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dan tindakan selanjutnya akan dijalankan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan," katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan apabila beberapa bangkai haiwan itu ditemui di sekitar kawasan sungai dalam hutan.

Kejadian itu disedari seorang pemancing dikenali Faizal bersama lapan rakannya yang datang ke kawasan hutan itu untuk memancing dan beriadah.

Sebelum ini tular rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki menunjukkan hasil tangkapan ikan seperti kelah, tengas dan lampam yang banyak di satu kawasan sungai dalam hutan.

Berikutan itu, Jabatan Perikanan menyiasat aktiviti tular itu yang dikatakan menangkap ikan dengan cara yang salah dan mencurigakan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!