Tiada rancangan ubah struktur Rukun Negara - Aaron

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Anak Dagang ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto: Bernama
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Anak Dagang ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perpaduan Negara tidak merancang untuk membuat sebarang perubahan struktural kepada Rukun Negara, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ini kerana, kesemua cita-cita dan prinsip sedia ada telah mencukupi bagi melahirkan rakyat Malaysia yang penuh jati diri dan patriotik.

"Bagi menterjemahkan roh dan semangat Rukun Negara, Jemaah Menteri pada 25 Julai 2023 telah memutuskan supaya lafaz ikrar Rukun Negara kini dibaca penuh bermula dengan mukadimah, diikuti lima prinsip Rukun Negara di semua peringkat sekolah dan program rasmi kerajaan di seluruh negara, sebagai usaha menyemai taat setia dan rasa cintakan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Aaron berkata, pada persidangan Dewan Rakyat kali ini juga, buat julung kalinya lafaz ikrar Rukun Negara telah dilaksanakan menunjukkan komitmen kementeriannya meningkatkan penghayatan Rukun Negara, serta menjadikan Ahli Parlimen sebagai teladan kepada generasi muda.

"Usaha ini akan diteruskan di peringkat Dewan Negara dan kementerian juga bercadang agar pelaksanaan ini turut diperluas kepada semua Dewan Undangan Negeri dengan kerjasama kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu Aaron berkata, Kementerian Perpaduan Negara telah bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi pelaksanaan aktiviti perpaduan melalui sukan dengan tema ‘Sukan Menyatukan Kita’.

"Pada tahun 2023, melalui Geran Padanan Sukan, kementerian telah meluluskan geran padanan sebanyak RM8,864,409.00 bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti sukan perpaduan.

Melalui inisiatif itu juga Aaron berkata kementerian telah menganjurkan Liga Sukan Uniti melibatkan empat acara iaitu futsal, bola jaring, badminton serta bola keranjang dan program itu telah berjaya melibatkan penyertaan seramai lebih 15,000 rakyat Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!