Kelantan mahu bina tugu Jepun dalam laut

Tugu pendaratan Jepun di Pantai Kuala Pak Amat di Pengkalan Chepa bukan berada pada lokasi sebenar pendaratan Jepun di negara ini pada 8 Disember 1941. Foto Bernama
Tugu pendaratan Jepun di Pantai Kuala Pak Amat di Pengkalan Chepa bukan berada pada lokasi sebenar pendaratan Jepun di negara ini pada 8 Disember 1941. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan berhasrat untuk membina tugu pendaratan Jepun di dalam laut di Pantai Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa di sini, sebagai usaha memelihara kesan sejarah dunia.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, hasrat pembinaan tugu tersebut bagi memperingati titik permulaan sebenar pendaratan Jepun ke negara ini pada 8 Disember 1941.

Kamarudin (tengah) mengagihkan bubur pulut hitam di Kota Bharu.
Kamarudin (tengah) mengagihkan bubur pulut hitam di Kota Bharu.

Menurut beliau, tugu sedia ada di daratan di kawasan pantai itu bukanlah berada pada titik permulaan pendaratan Jepun pada waktu tersebut.

“Tempat betul-betul Jepun mendarat sudah tenggelam dan berada jauh di dalam laut, sebab itu tugu perlu dibina di tengah-tengah lautan di kawasan pantai tersebut.

“Pembinaan tugu itu dijangka menelan kos yang tinggi tetapi perlu dilaksanakan untuk memastikan kesan sejarah kita terus terpelihara,” katanya selepas Program Manis Ramadan dengan agihan 400 bekas bubur pulut hitam sempena Ramadan oleh Jewels Hotel di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengurus Jewels Hotel, Muhammad Azrin Zainal Abidin.

Kamarudin berkata, cadangan pembinaan tugu itu bagaimanapun perlu melalui beberapa proses pelaksanaan yang cukup rumit termasuk perlu mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Jepun.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, pihaknya juga akan cuba mengesan nama batalion tentera yang terlibat dan waris-waris mereka dalam usaha mendapatkan sumbangan dana bagi memahat sejarah semasa Perang Dunia Kedua itu.

“Kami perlu bermula dengan usaha untuk mencari maklumat serta mengenali batalion tentera Jepun yang mendarat di Pantai Kuala Pak Amat pada tahun 1941.

“Usaha akan disusuli dengan langkah menjejaki waris-waris anggota tentera Jepun terlibat yang tentunya memerlukan bantuan serta kerjasama daripada kerajaan Jepun,” katanya.

Memetik laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), penjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula apabila Tentera Darat Ke-25 Jepun menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 dengan melancarkan serangan amfibi (amphibious assault) di pantai di Kota Bharu.

Pendaratan serentak dilakukan di Pattani dan Songkla di Thailand iaitu mereka bergerak ke selatan melalui jalan darat menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand untuk menyerang sebelah barat Tanah Melayu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!