Wanita disahkan mati hidup semula
BENGALURU - Seorang wanita di Karnataka, India yang diisytiharkan mati secara klinikal bangun semula beberapa jam sebelum majlis pengebumiannya dijalankan.
Insiden menggemparkan itu berlaku di perkampungan Muchchandi, kira-kira 500 kilometer dari Bengaluru pada awal bulan ini.
Wanita dikenali sebagai Malati Chougale itu pada mulanya dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Belagavi oleh saudara-maranya kerana tidak sedarkan diri selepas mengalami demam panas.
Sebaik tiba di hospital terbabit, doktor dan kakitangan perubatan berusaha menyedarkan semula wanita berusia 55 tahun itu namun gagal sebelum mengisytiharkan kematiannya.
Tidak lama selepas itu, pihak hospital meminta waris membawa pulang 'mayat' wanita itu ke rumah untuk proses pengebumian.
"Ketika sanak saudara memberikan penghormatan terakhir, wanita tersebut tiba-tiba terjaga sehingga membuatkan hadirin terkejut," kata seorang penduduk kampung.
Susulan itu, keluarga wanita terbabit bercadang menyaman hospital tersebut atas dakwaan cuai.
Sementara itu, jurucakap hospital menafikan dakwaan keluarga wanita terbabit.
"Dia sebenarnya dibenarkan meninggalkan hospital atas permintaan keluarga kerana mahu menghantarnya ke hospital lain.
"Kami tidak pernah mengisytiharkan kematiannya. Jadi, dakwaan petugas kami cuai amat mengecewakan," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!