Aktivis AS, Shaun King peluk Islam

Shaun (tengah) dan Rai melafazkan kalimah syahadah bersaksikan Imam Omar Suleiman di sebuah masjid di Texas. - Agensi
Shaun (tengah) dan Rai melafazkan kalimah syahadah bersaksikan Imam Omar Suleiman di sebuah masjid di Texas. - Agensi
A
A
A

TEXAS - Penulis yang juga aktivis kemanusiaan dari Amerika Syarikat (AS), Shaun King dan isterinya, Rai King telah memeluk agama Islam pada hari pertama Ramadan lalu.

Shaun yang cukup dikenali dengan kelantangannya berbicara tentang isu yang berlaku di Semenanjung Gaza telah melafaz syahadah bersama isterinya bersaksikan Imam Omar Suleiman.

Kisah Shaun memeluk Islam tersebar luas di seluruh dunia apabila Profesor Khaled Beydoun melakukan siaran langsung ketika sesi melafaz kalimah syahadah berlangsung di sebuah masjid di Texas.

“Saya tidak tahu bahawa saya akan berada di sini (Texas) hari ini tanpa penderitaan dan kesakitan dan trauma selama enam bulan lalu yang kita lihat di Gaza,” kata Shaun.

Selepas melafazkan syahadah dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab, Shaun dilihat menyerahkan mikrofon kepada isterinya yang tampil sopan mengenakan hijab rona hijau lumut dan berpakaian menutup aurat.

Selain lantang mengenai isu yang terjadi di Gaza, Shaun yang pernah menjadi paderi pada tahun 2008, turut terkenal dengan advokasinya dalam pergerakan Black Lives Matter (BLM).

Menerusi satu hantaran di Instagram, Rai berkongsi tentang bagaimana dia boleh terbuka hati untuk memeluk agama suci ALLAH itu bersama suaminya.

“Selepas membaca dan mengkaji untuk diri saya sendiri sejak beberapa tahun lalu, saya percaya dan yakin Islam adalah agama teragung,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Shaun yang kini berusia 44 tahun berkahwin dengan Rai sejak 2001 dan mereka memiliki lima orang cahaya mata. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!