Iftar Ala Madinah @Karangkraf beri pengalaman baharu
SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf membuka tirainya pada Rabu dengan kehadiran pengunjung yang teruja merasai pengalaman baharu untuk berbuka puasa beramai-ramai ala Madinah.
Kakitangan kerajaan, Ahmad Ramadhan Mohd Lokoman, 42, berkata, kehadirannya ke Kompleks Kumpulan Karangkraf itu bukan sahaja mahu menikmati juadah yang disediakan, namun meluangkan masa mencipta memori baharu bersama isteri dan tiga orang anaknya.
“Kali pertama saya sertai program berbuka puasa ramai-ramai di tempat umum seperti ini kerana sebelum ini hanya bersama keluarga dan rakan-rakan sahaja jadi saya ajak isteri untuk cuba sesuatu baharu.
“Apabila dapat tahu sahaja program ini daripada kawan-kawan, saya terus daftar dan Alhamdulillah dapat juga peluang untuk sertai kerana saya difahamkan tempat adalah terhad.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada penganjur kerana membuat program ini dan secara tidak langsung ia juga dapat membantu rakyat untuk menjimatkan perbelanjaan berbuka puasa terutamanya bagi golongan B40,” katanya kepada Sinar Harian.
Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 bermula 13 Mac hingga 4 April terbuka kepada 1,000 tetamu sehari bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi, sekali gus mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.
Program itu akan bermula pada jam 6 petang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, di sini.
Sementara itu, menurut pegawai khidmat pelanggan, Nur Azliana Azmir, 40, program itu memberi peluang kepadanya untuk beramah mesra dengan pengunjung dan bertukar-tukar juadah.
“Tahun lepas saya pernah sertai program ini dan seronok dapat berbuka puasa beramai-ramai jadi kali ini saya datang lagi bersama suami dan dua orang anak.
“Selain dapat menikmati juadah percuma yang sedap, saya juga dapat kenal dengan orang baharu dan berkongsi juadah yang dibawa.
“Malah, kami juga tinggal di Sungai Buloh tetapi bekerja di sini (Shah Alam), selalunya tidak sempat untuk berbuka puasa bersama dengan keluarga, jadi saya bawa bersama keluarga,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!