MHO mohon penjelasan dakwaan tanah rizab Melayu dipindah milik

Hishamuddin (tiga dari kiri) menyerahkan surat memohon ulasan kepada wakil PTG di Pejabat Tanah dan Galian Kedah, pada Rabu.
Hishamuddin (tiga dari kiri) menyerahkan surat memohon ulasan kepada wakil PTG di Pejabat Tanah dan Galian Kedah, pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon penjelasan berhubung isu sejumlah tanah rizab Melayu yang didakwa dipindah milik dan dijual kepada individu dan syarikat bukan Melayu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada sembilan wakil penghuni kediaman lot tanah di mukim Hutan Kampung di sini, yang mendakwa tanah didiami mereka telah dipindah milik dan dijual kepada sebuah syarikat.

Beliau memaklumkan, lot tanah itu menjadi pertikaian kerana sebahagiannya adalah tanah rizab Melayu di Kedah.

"Apa yang membingungkan apabila lot tanah ini secara terang-terangan telah dipindah milik dari seorang bukan Melayu kepada individu lain yang juga bukan Melayu," katanya.

Hishamuddin berkata demikian selepas menyerahkan surat memohon ulasan berkenaan tanah rizab Melayu kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah di sini, pada Rabu.

Hishamuddin (kiri) memberi penerangan kepada penduduk sebelum menyerahkan surat memohon ulasan berkenaan tanah rizab Melayu kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah, pada Rabu.
Hishamuddin (kiri) memberi penerangan kepada penduduk sebelum menyerahkan surat memohon ulasan berkenaan tanah rizab Melayu kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah, pada Rabu.

Beliau menambah, MHO bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk penyelesaian kepada permasalahan lot tanah tersebut.

Kata Hishamuddin lagi, MHO menyeru pihak berkenaan untuk lebih proaktif berkenaan dengan permasalahan tanah rizab Melayu yang seharusnya dimiliki dan dipindah milik kepada Melayu sahaja mengikut peruntukan Enakmen Simpanan Melayu 1930.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk mengharapkan pembelaan daripada pihak bertanggungjawab supaya mereka tidak diusir dan lot tanah tersebut dimiliki Melayu sahaja," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Darat, Maznah Che Don, 61, berharap kedatangan Ramadan ini membawa sinar kepada mereka yang berdepan kemelut tanah kediaman dipindah milik tanpa disedari.

Menurutnya, lebih 30 penduduk kampung itu berdepan berisiko kehilangan tanah dan rumah yang didiami dari generasi pertama hingga kelima sejak 1920 lagi.

Maznah memberitahu, kebanyakan penduduk kini hidup dalam kebimbangan kerana risau diusir dari kediaman mereka.

"Bersempena bulan Ramadan ini, semoga ada sinar untuk penduduk kerana kami sudah berjuang habis-habisan untuk mempertahankan tanah kami ini dan bernasib baik kerana ada NGO yang tampil membela," katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Aziz Md Nor, 72, memberitahu, mereka hanya menyedari masalah tanah berkenaan ketika salah seorang penduduk ingin membayar cukai hasil tanah sekitar 10 tahun lepas.

"Saya berharap nasib kami mendapat perhatian, sekali gus membolehkan kami terus mempunyai tempat berteduh," katanya.

Bagi warga emas, Teh Mustafa, 80, dia juga berasa sedih kerana akan kehilangan tempat berteduh sekiranya diusir keluar dari tanah yang didiaminya sejak dari kecil itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!