Penjawat awam Perak, ketua kampung terima 'bantuan raya' RM1,000
IPOH - Kerajaan Perak bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Raya (BKK RAYA) 2024 sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri dan ketua kampung.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian itu turut melibatkan guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.
"Buat julung kalinya juga, bantuan khas ini turut dipanjangkan kepada semua 995 ketua kampung di seluruh negeri," katanya dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Perak Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di sini pada Rabu.
Beliau yang turut menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-63 hari ini berkata, bantuan khas itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM8.8 juta dan akan memanfaatkan seramai 8,804 penerima.
Seramai 800 penjawat awam menghadiri majlis berbuka puasa yang diadakan di Laman Seri Ridzuan di sini dan turut menunaikan solat tarawih bersama Saarani. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!