Harap-harap padang OK

PSM berjanji bahawa padang SNBJ akan berada dalam keadaan baik sebelum perlawanan menentang Oman.
PSM berjanji bahawa padang SNBJ akan berada dalam keadaan baik sebelum perlawanan menentang Oman.
A
A
A

ISU rumput sekali lagi membelenggu Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 26 Mac ini.

Ia selepas padang yang menjadi venue keramat Harimau Malaya itu digunakan untuk penganjuran konsert Ed Sheeran yang berlangsung pada 24 Februari lalu.

Pentas untuk konsert tersebut telah diletakkan di tengah padang berdasarkan gambar yang tular di media sosial sehari sebelum Ed Sheeran menghiburkan 55,000 peminat yang hadir ke konsert tersebut.

Seperti dijangka, rumput tersebut mengalami kerosakan sehingga pengendali negara, Kim Pan-gon agak kecewa dengan kualiti padang ketika melakukan tinjauan pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, Pan-gon memberitahu bahawa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berjanji bahawa padang itu akan berada dalam keadaan baik sebelum perlawanan menentang Oman itu.

Namun, harus diingat ini bukan kali pertama padang stadium tersebut rosak kerana pada tahun lalu PSM juga dikecam teruk apabila keadaan padang umpama 'kuih seri muka' susulan konsert kumpulan Coldplay yang berlangsung 16 hari sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC.

PSM pada ketika itu juga memberikan janji bahawa padang akan 'pulih' sebelum perlawanan tetapi sebaliknya berlaku apabila kemeriahan aksi final itu direncatkan dengan keadaan padang yang agak menyakitkan mata.

Kali ini, janji sama 'dilaungkan' PSM selain mereka juga telah melibatkan pakar untuk memastikan keadaan rumput akan berada dalam keadaan sempurna 26 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Bukan tidak mahu percaya, tetapi janji tersebut telah gagal ditepati oleh PSM dan tidak hairanlah jika peminat beranggapan bahawa rumput itu tidak akan berada dalam keadaan 100 peratus bersedia untuk perlawanan itu.

Malah, rumput jenis Zeon Zoysia yang ditanam di Stadium Nasional Bukit Jalil itu memerlukan masa untuk akar mencengkam lebih kuat selain beberapa faktor seperti penyiraman dan cuaca untuk membantu rumput tersebut kuat.

Sudah berbuih pakar dan pemerhati sukan memberikan pandangan termasuk cara memastikan tidak berulang, namun ia bagaikan dipandang sepi dengan alasan bahawa stadium tersebut merupakan gelanggang serba guna pelbagai aktiviti.

Tidak pasti sama ada kali ini magis PSM akan berjaya menyelesaikan masalah padang dan semua penyokong sudah tentu mengharapkan ia tidak akan merencatkan persembahan skuad negara dalam misi untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia.

Agak mengecewakan apabila setiap kali pasukan negara mahu beraksi, kita perlu berhadapan dengan isu keadaan rumput apatah lagi penganjuran konsert seumpama itu akan terus diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sama ada hiburan atau patriotik perlu dijadikan keutamaan sentiasa menjadi perdebatan yang tidak nampak di mana kesudahannya selagi stadium tersebut sememangnya dibenarkan untuk diadakan pelbagai aktiviti.

Namun, secara realistik semua pihak perlu melihat alternatif yang lebih sesuai di sebalik terus berperang dengan masalah rumput tersebut.

Cara paling mudah adalah dengan bermain di luar Kuala Lumpur dengan pilihan yang ada seperti Stadium Sultan Ibrahim di Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu.

Kedua-dua pilihan tersebut bukanlah 'kesukaan' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang masih memilih untuk bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil biarpun mempunyai peluang beraksi di venue lain.

Selain itu, cadangan stadium sendiri untuk Harimau Malaya mungkin agak sukar untuk direalisasikan, namun ia dianggap sebagai sesuatu yang mungkin boleh diusahakan melihat kepada bola sepak sebagai sukan nombor satu negara.

Memang ada yang mengatakan bahawa pasukan negara lain pun tiada stadium sendiri, tetapi mereka tidak berdepan masalah serius dengan isu padang.

Tidak salah untuk merangka pelan dan bergerak ke arah mempunyai stadium sendiri dengan perancangan jangka panjang itu akan dapat membantu meningkatkan kualiti pasukan negara.

* Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sukan Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!