MHC enggan layan masalah peribadi pemain
KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) mengingatkan seramai 46 pemain yang dipanggil menyertai sesi pemilihan bagi skuad negara memanfaatkan peluang keemasan itu untuk membuktikan keupayaan dan semangat juang mereka buat negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM, Datuk Najmi Razak menegaskan mereka perlu bersaing secara sihat untuk merebut 18 tempat dalam skuad The Speedy Tigers.
Malah beliau juga enggan melayan masalah peribadi yang mungkin membelenggu pemain, sebaliknya mereka perlu fokus meningkatkan prestasi untuk menjadi yang terbaik dalam pasukan.
“Kepada semua 46 pemain peluang ini bukan mudah, jadi ambil sebaik mungkin untuk rebut tempat bagi beraksi buat Malaysia. Sekarang anda bersaing sesama sendiri dalam pasukan dan bina skuad yang mantap.
“Saya tidak mahu ada masalah peribadi. Ini peluang keemasan, jadi rebut. Kalau tidak mahu, kita akan ambil pemain yang betul-betul mahu berjuang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan tiga penolong jurulatih dan 46 pemain Speedy Tigers bagi menyertai sesi pemilihan untuk skuad lelaki negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.
Kesemua pemain akan melaporkan diri dan memulakan latihan pada 19 Mac ini bagi mengharungi Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Ipoh, Perak pada 4 Mei dan diikuti Piala Enam Negara-Negara di Poland.
Najmi turut mengumumkan tiga penolong jurulatih yang akan membantu Sarjit membentuk pasukan ampuh.
“Mereka terdiri daripada Mohamad Sukri Abdul Mutalib dan Azrul Effendy Bistamam serta jurulatih penjaga gol, S. Kumar,” katanya.
Mengulas perancangan aksi persahabatan selepas skuad Speedy Tigers menjalani latihan pusat, Najmi memberitahu, perkara tersebut akan dipertimbangkan sebaik mungkin bersama MHC.
“Seperti pengalaman kita yang dulu barisan kejurulatihan akan memberi cadangan kepada KHM dan kita akan meneliti bajet sebelum buat keputusan.
“Selalunya kita akan beri 100 peratus sokongan kepada cadangan untuk ada perlawanan persahabatan antarabangsa,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!