Sukan Olimpik Tokyo: Atlet dilarang melutut, tunjuk isyarat tangan
LAUSANNE - Atlet tidak dibenarkan melutut, menggunakan gerak tangan atau memaparkan sebarang mesej politik pada Sukan Olimpik Tokyo tahun ini, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Garis panduan baharu Peraturan 50 itu diterbitkan untuk menyatakan jenis protes atlet yang tidak boleh dilakukan semasa sukan tersebut yang akan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos ini di Jepun.
Di bawah Peraturan 50, atlet dilarang menggunakan pendirian politik ketika bermain seperti aksi mengangkat satu tangan yang dilakukan Tommie Smith dan John Carlos pada Mexico City Games 1968.
"Kami memerlukan kejelasan dan mahu kejelasan peraturan. Majoriti atlet berasa sangat penting untuk menghormati satu sama lain sebagai atlet," kata Pengerusi Suruhanjaya Atlet IOC, Kirsty Coventry.
Peserta yang melanggar peraturan protes bakal berdepan tiga pusingan tindakan disiplin oleh IOC, badan pentadbir sukan dan badan Olimpik kebangsaan.
Mereka bagaimanapun masih boleh menyuarakan pendapat politik dalam tetapan media rasmi, mesyuarat pasukan atau akaun media sosial.
"Ia adalah prinsip asas bahawa sukan adalah neutral dan mesti berasingan daripada politik, agama atau sebarang gangguan lain," kata OIC. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!