Terengganu akan terus tuntut hak royalti - MB

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan terus melakukan apa sahaja bagi menuntut tunggakan pembayaran penuh wang royalti minyak negeri itu yang sepatutnya diterima pada Mac tahun lalu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sehingga kini masih terdapat tunggakan sekitar RM600 juta wang royalti yang belum dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu bagi tahun 2023.

Menurutnya, tindakan Kerajaan Pusat menyekat dana tersebut menyebabkan pelbagai projek dan perancangan di negeri itu tergendala sekali gus memberi tekanan kepada rakyat.

"Saya sebut kepada rakan-rakan Exco di Terengganu mengenai tekanan isu royalti yang kita hadapi sekarang, saya sebut bahawa kesabaran kita ada batas.

"Ada kalanya mereka tidak perlu mengejutkan haiwan yang sedang tidur, kalau dikejutkan ia umpama 'newton's second law' lah. Akan ada satu masa, pelbagai langkah yang akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika siaran podcast 'KeluarSekejap' yang dikendalikan Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan di saluran YouTube pada Rabu.

Jelas Ahmad Samsuri, langkah susulan akan diambil sekiranya tindakan diplomasi yang dilakukan beliau sebelum ini tidak membuahkan hasil.

"Saya sudah sampaikan kepada orang Putrajaya, sekiranya langkah diplomasi ini tidak memberikan hasil, dan mereka masih 'bergembira' dengan mengenakan tindakan yang pelbagai ini, saya akan step up my pressure dengan menggunakan pelbagai cara. (Akan) ada waktu dan ketikanya.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, it's their choice, (if) they want to play along that line and then so will be it.

"Persoalan yang ingin saya tanya kepada mereka ialah, apa yang mereka dapat? Ia (sekatan wang royalti) sebenarnya telah menekan 97 peratus orang Melayu Islam di Terengganu," ujarnya.

Menjelaskan isu tunggakan bayaran wang tersebut, Ahmad Samsuri memberitahu pelbagai kaedah telah diambil kerajaan Terengganu sebelum ini bagi memastikan ia dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kita bercakap terus terang, apabila kita (memenangi) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022, waktu itu kerajaan Terengganu telah menerima bayaran royalti pada Mac dan September 2022.

"Jadi debaran pertama kita ialah bulan Mac 2023, terima ke tidak. Apabila tiba bulan Mac, yang diberi hanyalah untuk dibayar emolumen (gaji). Tambahan satu dua untuk perkara-perkara spesifik yang masih belum cukup sebagaimana yang sepatutnya.

"Masuk bulan April pun begitu dan bila saya jumpa dengan Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dia kata kita akan bagi, tengok macam mana.

"Sehinggalah pada bulan berikutnya semasa beliau (Anwar) berkunjung sempena Rumah Terbuka Madani (Hari Raya Aidilfitri) di Terengganu, saya pun merayu sekali lagi supaya diberi, dia kata tunggu lepas pilihan raya negeri,"ujarnya.

Ahmad Samsuri menyuarakan isu tunggakan royalti petroleum ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam sidang Parlimen pada 5 Mac lalu.

Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, wang royalti atau disebut oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Wang Ehsan dan Dana Khas yang diterima sejak sekian lama itu diharap dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan untuk manfaat 1.2 juta rakyat Terengganu.

Isnin lalu, Kerajaan Persekutuan menyatakan untuk kembali berbincang mengenai royalti petroleum negeri itu terutama membabitkan baki bayaran tahun lalu yang belum dilunaskan serta peruntukan untuk tahun akan datang.

Perkara itu dimaklumkan menerusi jawapan daripada Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sidang Parlimen.

Difahamkan, sehingga Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan wang royalti yang menjadi hak rakyat negeri Terengganu itu kira-kira RM1.5 bilion.

Bagaimanapun, kerajaan negeri hanya menerima RM510 juta dan ia merupakan bayaran paling rendah diterima berbanding tahun sebelumnya iaitu sejak 2018 hingga 2022.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!