Bawa bekas sendiri ke bazar Ramadan - Dr Zaliha

Zaliha menyerahkan beg kepada pengunjung bazar.
Zaliha menyerahkan beg kepada pengunjung bazar.
A
A
A

PUTRAJAYA - Warga Wilayah Persekutuan diseru untuk membudayakan membawa bekas makanan sendiri ketika berkunjung ke bazar Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah itu bagi mengurangkan penggunaan plastik membungkus makanan selari dengan usaha ke arah Bandar Rendah Karbon.

"Kita semua sedia maklum tentang ancaman penggunaan plastik konvensional yang banyak memberikan kesan negatif terhadap kesihatan dan alam sekitar.

"Malah ia mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai selain boleh menghasilkan bahan toksik merbahaya atau partikel halus yang menyerap masuk ke dalam tanah serta air sekali gus mengakibatkan pencemaran," katanya dalam kenyataan selepas membuat tinjauan di Bazar Ramadan Presint 3, dekat sini pada Rabu.

Zaliha dan Fadlun semasa melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Presint 3 pada Rabu.
Zaliha dan Fadlun semasa melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Presint 3 pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Noridah Abdul Rahim dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadhlun Mak Ujud.

Beliau berkata, JWP telah melaksanakan pelbagai program kesedaran dan sesi libat urus bersama orang ramai serta pemain industri serta pamera produk biodegradasi bagi meningkatkan budaya membawa bekas dari rumah.

Antaranya termasuk Program Turun Padang (TUPA), taklimat bersama pihak berkepentingan, seminar, lawatan ke premis serta mengadakan pameran berkaitan dengan produk biodegradasi. Semua program ini diadakan khusus untuk menyuntik kefahaman dan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai penggunaan produk biodegradasi.

Artikel Berkaitan:

"JWP bersama agensi-agensi di bawahnya akan meneruskan fokus dalam menggalakkan penggunaan produk biodegradasi di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan," ujarnya.

Sementara itu, PPj meneruskan kempen menyokong inisiatif Putrajaya Bandar Hijau Rendah Karbon dan kesejahteraan komuniti sejagat semasa Festival Ramadan Putrajaya 2024 (FRP2024).

Antaranya Kempen Bawa Beg Sendiri/Bekas Makanan Sendiri ke Bazar Ramadan, Kempen Jualan Menu Rahmah, Kempen Jom Bio-diesel, Kempen Save Food, Kempen Menggunakan Produk Bio-degradasi, Kempen Elakkan Pembaziran Makanan (Beli Apa Yang Perlu) dan Kempen Pengurangan Sisa Organik Melalui Pengkomposan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!