Zaquan Adha umum bersara dengan linangan air mata
BEKAS kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak mengucapkan selamat tinggal kepada arena bola sepak negara selepas hampir dua dekad menabur bakti dalam Liga Malaysia.
Bagaimanapun, ia bukanlah pengakhiran yang diidamkan penyerang berusia 37 tahun itu memandangkan dia hanya diutuskan sekeping surat memaklumkan kontraknya bersama Negeri Sembilan tidak dilanjutkan.
Dalam satu temu bual penuh beremosi bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Zaquan Adha, dengan penuh kehibaan, berkata: "Inilah lumrah sebagai pemain bola sepak.
Pasukan Negeri Sembilan sebenarnya sudah berlatih hampir seminggu tetapi saya tidak dapat apa-apa makluman daripada pihak pengurusan sebelum ini.
"Malam Ramadan pertama, saya hanya menerima sekeping surat, kontrak saya tidak disambung.
"Saya reda, mungkin rezeki saya sampai di sini. Apabila sudah di penghujung baru dapat surat, perancangan saya jadi terjejas. Kerana mana lagi pasukan saya mahu pergi, saya mahu cari?
"Saya rasa, saya terima dengan hati terbuka bahawa rezeki saya setakat di sini bersama dengan NSFC."
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, bekas kapten skuad Jang itu berkata: "Sebenarnya, sekembalinya saya bersama pasukan Negeri Sembilan - lahirnya saya sebagai pemain bola sepak adalah bersama Negeri Sembilan, jadi seboleh-bolehnya saya mahu mengakhiri karier bola sepak saya juga bersama pasukan Negeri Sembilan.
"Secara tidak langsung, saya mahu terus bekhidmat dalam kejurulatihan - itulah perancangan asalnya.
"Tetapi, seperti yang saya cakap tadi, rezeki saya sampai di sini dan apabila jadi seperti ini, saya rasa saya tidak akan ke mana-mana, saya rasa saya akan bersara dan tidak akan sertai pasukan lain untuk bermain.
"Kerana dunia saya bola sepak. Apabila terjadi macam ini, saya rasa ini pengakhiran saya sebagai pemain profesional bola sepak. Mungkin saya bersaralah." - Astro Arena
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!