KEB 2024 perlihat agenda perkasa ekonomi bumiputera tanpa pinggir kaum lain
KUALA LUMPUR - Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac lepas, berjaya memperlihatkan agenda untuk memperkasakan ekonomi bumiputera tanpa meminggirkan kumpulan etnik lain di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, KEB 2024 melibatkan keterangkuman pelbagai pihak bagi kepentingan ekonomi negara, apabila melibatkan bukan hanya dewan perniagaan mewakili kaum Melayu dan Islam serta bumiputera lain seperti Kadazandusun, Dayak dan Iban tetapi juga dewan perniagaan Cina dan India selain pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan ekonomi.
"Tiada agenda meminggirkan bantuan kepada kumpulan etnik lain di negara ini. Tidak ada agenda untuk tidak laksanakan pembangunan, pertumbuhan ekonomi yang lebih (menyeluruh) melalui penglibatan semua kumpulan bumiputera selain menyantuni keperluan kaum lain di negara ini,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Bangunan Parlimen di sini.
Memberi jaminan bahawa kepentingan kaum lain turut diberi perhatian oleh kerajaan, Ahmad Zahid berkata mereka juga diberikan pelbagai bantuan termasuk bagi menjalankan perniagaan.
Mengenai tindakan kerajaan selepas KEB 2024, Timbalan Perdana Menteri berkata, pada minggu ini, beliau akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bagi 82 resolusi KEB 2024 sebagai tindakan susulan bagi pelaksanaan resolusi-resolusi berkenaan.
"Kita akan tubuhkan sekretariat tetap kombinasi antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang ada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Ekonomi yang mempunyai Unit Perancang Ekonomi (EPU).
"Punca kuasanya adalah Majlis Ekonomi Bumiputera dengan Perdana Menteri adalah pengerusinya dan saya sebagai Timbalan Pengerusi. 82 resolusi itu melibatkan 10 kluster meliputi pelbagai bidang dan mungkin ada beberapa bidang tidak dicakupi yang kita akan rancang melalui MEB dan terus santuni beberapa isu belum dimasukkan (dalam resolusi KEB 2024),” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, KEB 2024 merupakan kongres ekonomi bumiputera kali ketiga dianjurkan oleh kerajaan dengan yang pertama adalah pada 1965 dan kedua pada 1968.
"Selepas itu banyak lagi kongres anjuran NGO dan beberapa pihak tetapi ia bukan sebagai keputusan kerajaan. Ia lebih kepada cadangan pada kerajaan,” katanya.
Katanya, Perdana Menteri telah meminta beliau untuk mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu kepada MEB supaya pelaksanannya melibatkan pelbagai kementerian dan agensi terlibat yang melaksanakan resolusi KEB 2024.
"Terdapat tiga jawatankuasa bagi KEB 2024 iaitu Jawatankuasa Induk yang berkaitan dasar, Jawatankuasa Pemandu pula berkaitan dasar-dasar untuk pelaksanaan. Jawatankuasa ketiga adalah Jawatankuasa Kerja, dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, yang akan melihat kepada perbelanjaan perlu dikeluarkan dan jeda waktu pelaksanaan,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!