Putra Amaris, Tyzo kongsi rezeki
LAMBAKAN kisah kepayahan hidup yang dialami masyarat sekeliling telah menjentik hati pelakon Putra Amaris untuk berkongsi rezeki bagi meringankan beban buat mereka yang memerlukan.
Sudah menggerakkan usaha untuk membantu sejak tahun 2020, Amaris kembali dengan program Share Rezeki yang secara tidak langsung menjadi ibadah infaq sempena menyambut keberkatan bulan Ramadan.
“Kita banyak mendengar kisah orang hidup susah menerusi laporan media atau yang tular di media sosial. Dari situ saya mula terfikir untuk lakukan sesuatu agar rezeki yang dimiliki ini juga dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang.
“Sekurang-kurangnya sedikit pemberian ini juga dapat memberi senyuman buat mereka yang memerlukan. Bahkan mereka juga sama-sama dapat merasa nikmat Ramadan seperti kita yang berkemampuan.
“Tahun ini saya teruskan lagi program Share Rezeki yang pernah dilakukan empat tahun dahulu,” katanya.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Amaris bersama pasukan pengurusan, Rarekynd Malaysia sudah mula mengenal pasti golongan yang memerlukan termasuk rumah-rumah kebajikan sebagai penerima sumbangan.
Malah dia juga turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat ternama untuk sama-sama berkongsi menghulurkan bantuan bagi menggerakkan misi ini.
Bukan itu sahaja, dia turut mengajak rakan-rakan artis yang mahu melakukan amal kebajikan.
“Menariknya tahun ini saya turut mendapat kerjasama beberapa syarikat bumiputera. Bukan itu sahaja, saya juga membuka peluang kepada rakan artis sekiranya mereka mahu melakukan kebajikan sempena Ramadan.
“Saya percaya ramai golongan yang berkemampuan mahu menghulurkan bantuan namun tidak dapat berbuat demikian atas beberapa faktor kekangan. Jadi program Share Rezeki ini boleh menjadi orang tengah untuk mereka,” jelasnya.
Pelancaran Share Rezeki tahun ini diadakan pada Jumaat lalu bertempat di MyEvent Production Studio, Shah Alam turut mendapat kerjasama pihak lain termasuk adalah Minyak Bidara Paklong Man (penaja utama), Adabi, Hardamawt dan Westplate Factory.
Tambah Amaris, kejayaan sebelum ini juga telah mendorong dia untuk menjadikan program sebegini sebagai acara tahunan atau mungkin boleh dilaksanakan sepanjang tahun.
Istimewa juga dalam program tahun ini Amaris turut bekerjasama dengan penyampai radio, Tyzo Xander menerusi Pertubuhan Kasih Tyzo.
“Siapa tahu program ini akan dijalankan sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu kepada bulan Ramadan sahaja.
“Rezeki dapat bekerjasama dengan Tyzo. Memang hasrat dalam hati nak bekerjasama dan dengan izin ALLAH ia dipermudahkan. Kami berhubung dan dia juga mahu melakukan program sama.
“Bermula daripada sekadar borak kosong, kemudian pertemua di kedai kopi akhirnya kami setuju untuk sama-sama menggerakkan progam ini,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!