Empat lagi ditahan terima rasuah daripada sindiket penyeludupan

Kesemua suspek yang menjadi perantara memberi rasuah bagi pihak sindiket penyeludupan ditahan reman setelah mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu. Foto Ihsan SPRM.
Kesemua suspek yang menjadi perantara memberi rasuah bagi pihak sindiket penyeludupan ditahan reman setelah mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu. Foto Ihsan SPRM.
A
A
A

PUTRAJAYA - Padah menjadi perantara untuk memberi rasuah bagi pihak snidiket penyeludupan, seorang penjawat awam antara yang ditahan pihak berkuasa.

Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat lagi individu termasuk seorang penjawat awam kerana disyaki bertindak sebagai perantara memberi rasuah bagi pihak sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara.

Katanya, perintah reman selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat dikenakan ke atas kesemua suspek bagi membantu siasatan.

"Tahanan reman telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.

Kesemua suspek yang menjadi perantara memberi rasuah bagi pihak sindiket penyeludupan direman setelah mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu. Foto Ihsan SPRM.
Kesemua suspek yang menjadi perantara memberi rasuah bagi pihak sindiket penyeludupan direman setelah mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu. Foto Ihsan SPRM.

"Keempat-empat suspek lelaki berusia lingkungan antara 30-an hingga 50-an telah ditahan kira-kira jam 4 petang pada Selasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan," katanya pada Khamis.

Menurut sumber, kesemua suspek tersebut dipercayai menjadi perantara sindiket terbabit untuk membayar wang rasuah kepada penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa bagi memudahkan urusan penyeludupan.

Katanya, wang rasuah daripada sindiket itu dimasukkan ke dalam akaun mereka dan kemudian dipindahkan ke akaun beberapa penjawat awam yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, reman terhadap suspek adalah susulan operasi khas yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Isnin lalu.

Menurutnya, dalam operasi tersebut, seramai lapan individu telah ditahan dan empat daripadanya telah direman pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman empat suspek tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!