'Awek Melaka' kena cekup merempit
MELAKA - Lagak remaja perempuan merempit dengan melakukan aksi 'superman' di Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini, ketika pulang berkonvoi selepas menjamu selera membawa padah selepas ditahan polis pada Rabu.
Tangkapan tiga remaja perempuan berusia 16 hingga 18 tahun itu dibuat selepas aksi mereka dikesan tular di aplikasi sosial X.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, penahanan remaja dari kumpulan dikenali 'Awek Melaka' itu dibuat sepasukan Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman di sekitar Melaka Tengah.
Katanya, tangkapan dibuat dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerusi operasi bermula jam 11 malam.
"Polis turut menyita tiga motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang digunakan ketika melakukan aksi berbahaya itu.
"Siasatan awal kejadian (aksi) yang dilakukan remaja itu berlaku pada Ahad lalu kira-kira jam 5.30 petang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, soal siasat mendapati penunggang terbabit menetap di sekitar Melaka dan sebelum kejadian mereka dalam perjalanan pulang secara berkonvoi dari sebuah kedai makan di Serdang, Selangor.
Katanya, mereka menjadikan lebuh raya sebagai tempat untuk melakukan aksi berbahaya kerana terpengaruh antara satu sama lain.
"Polis turut mengeluarkan tujuh saman atas pelbagai kesalahan," ujarnya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan JSPT mengingatkan penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan lalu lintas kerana pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana individu terlibat dalam samseng jalanan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!