27 menara telekomunikasi baharu siap dibina di NS
JELEBU - Sebanyak 27 menara telekomunikasi baharu telah siap dibina di Negeri Sembilan di bawah Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Satu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat ini lapan daripadanya telah beroperasi manakala 19 lagi kini dalam proses pemasangan peralatan telekomunikasi bagi menghubungkan data komunikasi dari satu menara ke menara yang lain.
"Ikut perancangan ia dapat beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, tapi bagi pihak kerajaan negeri, kita berharap ia dapat disegerakan sekurang-kurangnya pertengahan atau suku ketiga tahun ini.
"Berdasarkan data yang diberikan, dengan tersedianya pembinaan 27 menara telekomunikasi ini, dijangka seramai 16,000 penduduk luar bandar termasuk kawasan orang asal juga akan menerima manfaat perkhidmatan internet lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemuktamadan Pembinaan 27 Menara Telekomunikasi Baharu Pelan Jendela Fasa 1 di Kampung Rambai Baris di sini pada Khamis.
Hadir sama, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Exco Warisan dan Adat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Faizal Ramli; Ketua Bahagian Koordinasi Negeri SKMM, Bukhari Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Edotco, Mohd Adlan Ahmad Tajudin.
Menurutnya, penyediaan perkhidmatan akses jalur lebar yang kondusif adalah menjadi keutamaan dalam menuju ke arah era pendigitalan.
Tambahnya, ia juga bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat dan menarik serta memperkukuhkan keyakinan pelabur khususnya sektor perindustrian melalui pembangunan ekonomi digital.
"Penambahbaikan kualiti komunikasi juga wajar dipertingkatkan dari semasa ke semasa khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar yang memerlukan kesaling hubungan internet yang mampan seperti mana
yang dinikmati oleh penduduk di kawasan bandar.
"Sehubungan itu, usaha menambah baik perkhidmatan komunikasi internet di Negeri Sembilan termasuk di kawasan luar bandar juga sedang dipergiatkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) Negeri Sembilan bersama-sama pihak industri telekomunikasi melalui JENDELA bagi memastikan visi dan aspirasi nasional adalah tercapai, "katanya.
Selain itu beliau turut menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada SKMM yang memaklumkan tambahan pembinaan 26 lagi menara telekomunikasi di negeri ini bagi fasa kedua.
Sementara itu, Bukhari berkata, menjadi sasaran JENDELA menjelang akhir tahun 2025 sebanyak 9 juta premis di seluruh negara diliputi dengan gentian optik.
"Selain itu untuk meningkatkan kelajuan internet dengan purata 100 megabit sesaat (Mbps) dan 100 peratus liputan perkhidmatan internet di kawasan berpenduduk.
"Alhamdulillah kesemua 27 menara telekomunikasi di Negeri Sembilan telah pun berjaya didirikan sepenuhnya secara berperingkat sehingga akhir tahun lalu oleh pihak Edotco Malaysia Sdn Bhd," katanya.
Dalam pada itu Mohd Adlan berkata Negeri Sembilan merupakan negeri pertama yang mencapai 100 peratus pelaksanaan tapak Jendela Fasa Satu yang sudah siap dibina.
Ujarnya, sehingga hari ini pihaknya telah diberi kepercayaan dan tanggungjawab membina 258 menara telekomunikasi di bawah pakej Jendela Fasa 1 di seluruh negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!