'Harga ayam naik 30 sen masih belum lepas harga siling' - Mohamad

Mohamad pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Mohamad pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui terdapat laporan kenaikan harga ayam sebanyak 30 sen namun situasi itu masih terkawal ekoran tidak melepasi harga siling RM11.40 per kilogram (kg).

Ahli Parlimen Kota Raja itu menjelaskan, pihaknya bersama kementerian berkaitan akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan harga ayam tidak naik mendadak hingga membebankan rakyat.

"Libat urus sentiasa diadakan. Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memantau. Dalam laporan bulanan, harga ayam agak stabil jika dibandingkan dengan harga yang kita letak dulu iaitu harga siling RM11.40. Setakat ini belum lagi mencecah ke arah itu.

"Kalau di (pasar raya) Mydin masih lagi dijual dengan harga bawah RM9, kadang-kadang RM7.90, kadang-kadang RM8. Umumnya kalau ada poket (premis) tentu (yang jual) mahal, itu bukan kerana dasar umum.

"Kita akan pantau dan buat laporan, kenaikan 30 sen kalau daripada RM5.50 naik 30 sen, maknanya ia belum mengatasi harga siling yang kita pernah tetapkan. Di pasaran kita pantau berterusan, libat urus diadakan sentiasa sama ada dengan penternak kecil atau besar," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai laporan harga ayam naik 30 sen sebanyak tiga kali yang bercanggah dengan kenyataan kementerian bahawa ia agak stabil.

Dalam pada itu Mohamad memaklumkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam di tamatkan sepenuhnya bermula pada 1 November 2023.

Perkara itu mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang serta kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran pada kadar yang munasabah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hasil pemantauan DVS secara bulanan menunjukkan harga ayam adalah stabil.

"Purata harga ayam di ladang yang direkodkan di seluruh Semenanjung sejak November 2023 ialah RM5.85/kg; Disember 2023 (RM6.39/kg); Januari 2024 (RM6.13/kg) dan Februari 2024 (RM6.03/kg).

"Bekalan ayam juga pada masa kini adalah stabil dan faktor ini turut menyumbang kepada kestabilan harga ayam semasa," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!