Geng Vennu dalang kes pecah kedai, gudang tumpas

Wan Mohd Zahari (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian tayar curi yang dirampas susulan penahanan tiga anggota Geng Vennu pada 4 Mac lalu.
Wan Mohd Zahari (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian tayar curi yang dirampas susulan penahanan tiga anggota Geng Vennu pada 4 Mac lalu.
A
A
A

KUANTAN - Kumpulan penjenayah Geng Vennu yang aktif menjalankan kegiatan pecah kedai dan gudang di sini sejak tahun lalu tumpas berikutan penahanan tiga anggotanya sekitar Johor Bahru dan Kulai, Johor pada 4 Mac lalu.

Berikutan penahanan suspek berusia 35 hingga 40 tahun itu, polis menemui dan merampas sebuah lori 'bonded' tiga tan serta 31 tayar lori pelbagai saiz.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan empat kes pecah kedai dan gudang di sekitar Kuantan dan masing-masing satu kes di Pekan, Maran, Jerantut dan Raub susulan penahan anggota geng itu.

Wan Mohd Zahari (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian tayar curi dalam lori yang dirampas susulan penahanan tiga anggota Geng Vennu pada 4 Mac lalu.
Wan Mohd Zahari (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian tayar curi dalam lori yang dirampas susulan penahanan tiga anggota Geng Vennu pada 4 Mac lalu.

Menurutnya, penahanan suspek berasal dari Perak, Kedah dan Johor itu dilakukan susulan laporan polis dibuat peniaga kedai tayar di Jalan Pintasan Kuantan - Gebeng di sini pada 2 Mac lalu berhubung kejadian pecah masuk premisnya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, pengadu mendakwa 100 tayar lori pelbagai saiz yang berada dalam premisnya telah dilarikan hingga kerugian kira-kira RM100,000.

"Siasatan mendapati suspek memotong rantai kunci pintu utama premis dan mengumpilnya untuk masuk sebelum memecah pintu ruang pejabat mengambil kunci stor yang menyimpan tayar lori pelbagai saiz.

"Suspek menggunakan lori jenis 'bonded' milik salah seorang daripada mereka untuk melarikan tayar yang dicuri sebelum dibawa untuk dijual kepada pembeli di Kulai, Johor," katanya pada sidang akhbar kes itu di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan dan risikan, pihaknya dibantu sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor telah menahan dua suspek di sekitar Johor Bahru dan merampas sebuah lori jenis 'bonded' yang digunakan.

"Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berperanan sebagai pembeli barang yang curi di Kulai Johor serta rampasan 31 tayar lori pelbagai saiz," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat dijalankan, suspek mengaku terlibat dalam kes pecah premis dan gudang di daerah Kuantan, Pekan, Maran, Jerantut dan Raub.

"Selain kedai tayar, suspek dipercayai turut terlibat dalam kes pecah premis barangan sejuk beku dan minuman.

"Bagi kes pecah kedai tayar di Kuantan ini, polis percayai suspek menjual tayar lori dengan harga murah kira-kira RM400 sebiji berbanding harga pasaran mencecah RM1,000," katanya.

Tambah beliau, semakan rekod mendapati, suspek pertama berusia 35 tahun memiliki 33 rekod jenayah lampau dan kebanyakan berkait kes pecah rumah manakala suspek kedua, 40 tahun memiliki 14 rekod lampau berkait jenayah dan dadah.

"Suspek ketiga juga berusia 40 tahun turut memiliki rekod lampau dengan tiga kes berkait jenayah membeli dan menyimpan barang curi," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, suspek kini diserahkan kepada polis Maran untuk siasatan lanjut berkait kes dilaporkan di daerah itu selepas siasatan kes di Kuantan selesai dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah/premis dan curi) dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan (menyimpan harta curi).

"Siasatan turut dijalankan bagi mengesan pihak yang terlibat sebagai pembeli barang curi dari geng ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!