Pengarah syarikat keselamatan didakwa pecah amanah lebih RM170,000
KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat lebih RM170,000, dua tahun lepas.
U.Yogeshwaran, 45, sebagai pengarah syarikat Asas Kukuh Security Services (M) Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang syarikat itu berjumlah RM176,117.55 di Bank Muamalat Malaysia Berhad, Menara Bumiputra di sini antara 7 April 2022 dan 13 Mei 2022.
Dia didakwa mengikut Seskyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wirna Arifin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan hingga kes selesai.
Peguam Yagoo Subramaniam yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM15,000 atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga serta tidak membantah syarat tambahan dimohon pihak pendakwa.
Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan serta menetapkan 18 April ini untuk sebutan semula kes. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!