Pemuda UMNO cadang laksana dialog nasional pendidikan negara

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mencadangkan dihidupkan kembali suatu ruang dialog nasional bagi meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara.

Exco Pemuda UMNO, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, ini kerana segregasi atau pemisahan kaum yang berlaku dalam negara telah bermula sejak bangku sekolah.

Menurutnya, perkara itu memberikan kesan buruk kepada perpaduan rakyat negara.

"Isu sekolah pelbagai aliran bukan bermula baru-baru ini oleh Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, sebaliknya telah dibahaskan oleh ahli akademik sejak dulu lagi.

"Malahan mendiang Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim pernah menyatakan semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan kerana sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Pemuda MCA, Saw Ye Fung bahawa cadangan untuk mewujudkan sistem pendidikan satu aliran dianggap tidak relevan dan hanya mahu memecahbelahkan keharmonian kaum di negara ini.

Beliau berkata, walaupun negara menghadapi pelbagai cabaran, tindakan Pemuda UMNO membangkitkan isu pendidikan satu aliran pada masa ini dianggap tidak produktif untuk kemajuan negara.

Bagaimanapun, Shah Zanuriman menegaskan, perbincangan meminda had umur mengundi sebelum ini juga telah dibincangkan secara terbuka sebelum perlembagaan itu dipinda.

Artikel Berkaitan:

"Tidak pula ketika itu mana-mana pihak mempertikaikan perbincangan tentang perkara itu.

"Setakat hari ini, tidak ada mana-mana pihak pernah dijatuhkan hukuman kerana membincangkan tentang perkara-perkara dalam perlembagaan secara dialog mahu pun forum umum," katanya.

Beliau berkata, Pemuda MCA seharusnya menyahut baik seruan Pemuda UMNO untuk ruang dialog nasional diadakan secara ilmiah.

"Permintaan dari Pemuda UMNO bukanlah sesuatu yang melampau.

"Dialog ini bagi membolehkan mereka menyatakan hujah serta membuktikan pandangan secara ilmiah bukannya mengugut dengan menggunakan perkataan perlembagaan dan mahkamah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!