Cara menangani isu perkauman

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SEKIAN lama menunggu, akhirnya Malaysia ‘bertemu’ dengan tahun 2020. Tahun yang dicanang-canang sebagai tahun Malaysia mencapai status negara maju, tahun munculnya kereta terbang.

Memasuki tahun 2020, semuanya agak kelam. Usah kata negara maju, pemikiran rakyat pun masih belum maju, perpaduan pula kian ‘terbang’ dipuput pawana perkauman.

Jika ada isu melibatkan satu kaum, pasti hadir satu kaum lain membantahnya. Lihatlah apa yang berlaku kepada jawi, lihat juga kepada tanglung. Bantahan merata-rata.

Kita Malaysia, rakyat berbilang kaum, perbezaan itu keistimewaan dan keunikan kita. Sejak dari dahulu, tiada langsung timbul perdebatan, bantahan atau aduan tatkala tanglung dipasang di sekolah namun pada tahun 2020, segalanya berbeza.

“Saya melihat tindakan tujuh menteri turun ke sekolah untuk menyelamatkan tanglung tidak produktif. Ia hanya menyebabkan orang Islam yang tidak benci tanglung sekarang semakin benci dengan tanglung.

“Mereka boleh bezakan apabila isu jawi diasak oleh Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) dan pemimpin bukan Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu senyap.

“Ini menyebabkan orang Melayu marah,” kata Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang tersirat 1,001 peringatan kepada mereka yang sepatutnya memelihara perpaduan di Malaysia.

Hussamuddin bukanlah orang politik, beliau seorang usahawan yang sejarah menunjukkan hidupnya dikelilingi masyarakat berbilang kaum sedari kecil.

Artikel Berkaitan:

Kini, beliau merupakan penggerak kempen Uninstall Hatred: Reboot Malaysia & Global Harmony yang bertujuan mengembalikan semula keharmonian masyarakat bukan sahaja di Malaysia bahkan juga dunia.

Dalam pada itu, bagi penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, menghormati satu sama lain adalah azimat utama dalam membanteras sentimen perkauman dalam negara.

Jelasnya, semua orang perlu sedar Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan tidak seharusnya ada satu kaum yang dominan.

“Walaupun kita banyak kata kaum Cina, India bersuara tapi pada masa sama, kita pun cakap isu Melayu, maruah Melayu.

“Jadi dalam konteks ini, semua kena muhasabah dan selesaikan secara kompromi antara satu sama lain. Kalau ikut keadaan Malaysia jika dibandingkan dengan negara lain, kita masih lagi bagus hubungan kaumnya.

“Cuma bibit-bibit permasalahan itu perlu ditangani dengan baik terutamanya oleh kerajaan dan masyarakat itu sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Azizuddin turut mengaitkan ekonomi negara yang tidak begitu rancak mempengaruhi isu perkauman yang kerap berbangkit kebelakangan ini.Realiti politik

“Kalau isu ekonomi dapat diselesaikan kerajaan, saya rasa orang tak fikir isu perkauman ini semua.

“Orang fikir isu kaum ini sebab isu ekonomi yang masih dalam proses untuk diselesaikan, ini juga mengambil masa. Saya nampak itu saja realiti politik negara kita,” katanya.

Pakar sejarah, Datuk Dr Ramlah Adam pula berkata, pemerintahan British menyebabkan negara terbina dalam keadaan berpecah-pecah namun sejarah juga menunjukkan kerajaan berusaha untuk membaiki perpaduan dalam Malaysia.

“Kita sebenarnya memang rancang perpaduan rakyat. Kita tidak benarkan ia berlaku sendiri, semuanya diprogramkan dan dirancang kerajaan. Kerajaan menyediakan orang untuk menguruskannya dengan baik.

“Namun selepas PRU14, saya lihat kerajaan tidak begitu beri perhatian kepada perpaduan negara. Tidak memberi perhatian itu bermakna kita lihat menteri sendiri pun mengeluarkan kenyataan provokasi dan saling bercanggah,” katanya.

Jelasnya, sebagaimana pentingnya ekonomi, begitu jugalah pentingnya perpaduan kerana di Malaysia, jika ekonomi jatuh malah perpaduan juga ikut sama jatuh.

Mengambil contoh peperangan Amerika Syarikat-Iran, isu Kashmir melibatkan India-Pakistan dan Rohingya di Myanmar, Ramlah menegaskan, tragedi boleh berlaku seandainya sentimen kaum, agama diapi-apikan.

Dari sudut Islam pula, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam amat benci kepada orang yang menyeru untuk taksub kepada puak dan bangsa sendiri.

Tegas beliau, sesiapa yang berjuang ke arah perkauman sempit, menyeru kepadanya lalu mati dalam keadaan demikian maka dia dianggap mati sebagai seorang jahiliah.

“Islam juga mengajar umat Islam supaya menghormati orang bukan Islam. Menurut Islam, perbezaan adalah sesuatu yang tabii.

“Ini tidak wajar dijadikan faktor bagi benci-membenci dan bermusuhan,” katanya.

Di Malaysia, kepelbagaian kaum membentuk Malaysia. Mengikut anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia, negara mempunyai 32.6 juta penduduk pada tahun 2019.

Daripada jumlah tersebut, 69.3 peratus daripadanya merupakan golongan Bumiputera, kaum Cina (22.8 peratus), kaum India (6.9 peratus) dan lain-lain (1.0 peratus).

Perbezaan ini tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan sebaliknya kekuatan kita. Selepas lebih 62 tahun merdeka, perpaduan di Malaysia sepatutnya lebih kukuh, bukannya semakin rapuh.

Ketepikan anasir negatif yang menggugat keharmonian negara. Tanya hati, sebagai rakyat Malaysia, rasiskah kita?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!