Masih tiada butiran cadangan peraturan kawal selia vape - DPVM
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa membuat sesi libat urus dengan semua pihak dalam industri dan memberikan butiran terperinci berkenaan peraturan-peraturan yang bakal diperkenalkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Setiausaha Agung Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, sehingga hari ini pihak industri masih tidak mendapat butiran terperinci daripada kementerian berkenaan peraturan yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan untuk industri vape.
Katanya, ia berikutan laporan berita yang menyatakan KKM telah menyediakan deraf peraturan di bawah akta tersebut dan sedang disemak oleh pegawai undang-undang serta kertas memorandum turut akan diangkat untuk mendapatkan persetujuan daripada Jemaah Menteri.
”Awal tahun ini KKM mengadakan satu sesi libat urus dengan industri tetapi tidak memberikan butiran yang terperinci berkenaan rangka kawal selia untuk industri vape. Pada masa itu, kami dimaklumkan bahawa perbincangan dan penelitian dalam kementerian masih sedang dibuat.
"Agak mengejutkan apabila kami mendapat makluman daripada laporan berita bahawa peraturan telah siap dirangka dan kini dalam penilaian pegawai undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, perkara ini harus diambil serius kerana industri perlu terlibat bersama dalam perbincangan secara telus berkenaan cadangan peraturan dan dasar yang dipertimbangkan oleh Kementerian.
"Setakat ini, kami tidak tahu butiran peraturan yang dicadangkan dan sama ada ia akan memberikan kesan kepada pengoperasian semasa industri,” katanya.
Ridhwan turut menambah, industri perlu tahu perincian mengenai cadangan kawalan kandungan produk, jenis produk yang dibenarkan dijual, tahap maksimum isipadu produk, kepekatan nikotin yang dibenarkan, tatacara pembungkusan dan penjualan produk.
“Semua ini adalah butiran yang perlu dibincangkan bersama industri kerana ia melibatkan produk yang terjual dan sedia ada dalam pasaran.
"Sekiranya peraturan dibuat dan ia tidak mempertimbangkan kesan kepada pengoperasian semasa, ramai usahawan, perusahaan kecil dan sederhana serta pekerja yang akan terkesan,” katanya.
Beliau berkata, industri vape pada masa ini mempunyai lebih daripada 3,000 peniaga tempatan dan tenaga kerja yang terlibat adalah melebihi 30,000 dari setiap lapisan masyarakat.
"Jika industri ini terjejas ekoran peraturan yang tidak wajar dikenakan, maka ada kemungkinan ramai peniaga akan terjejas dan terpaksa menutup perniagaan serta menyebabkan ribuan pekerja kehilangan pekerjaan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, DPVM berharap KKM akan mengadakan sesi libat urus dan memberikan penerangan berkenaan dasar dan cadangan peraturan yang dipertimbangkan agar industri boleh mendapatkan makluman yang terperinci.
“Kami mohon agar kementerian dapat mengadakan suatu sesi libat urus yang melibatkan semua pihak dalam industri dan cadangan-cadangan yang sedang dipertimbangkan dikongsikan bersama secara terperinci dan telus untuk perbincangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!