PLUS sahkan terdapat pemasangan paip gas tanpa kebenaran pihak ketiga

Tangkap layar kenyataan PLUS pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan PLUS pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesahkan bahawa terdapat kerja-kerja pemasangan paip gas yang telah dijalankan oleh pihak ketiga tanpa kebenaran di Kilometer (KM) 14.4 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).

Bagaimanapun PLUS dalam satu kenyataan berkata, jururunding telah membuat penilaian dan hasil siasatan mendapati laluan itu adalah stabil dan selamat digunakan oleh pengguna lebuh raya.

“Pada masa yang sama, PLUS telah memulakan kerja-kerja pembaikan sejak Januari 2024 dan akan mengadakan pemantauan berterusan di lokasi tersebut,” katanya pada Khamis.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung pemasangan paip gas oleh salah sebuah syarikat minyak di laluan tersebut tanpa kelulusan PLUS sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Berikutan itu, ia telah mengundang kerisauan daripada kalangan warganet yang menggunakan laluan tersebut.


PLUS diarah kemuka laporan penuh isu paip gas di Lebuhraya ELITE

KUALA LUMPUR - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diarah mengemukakan laporan penuh dan lengkap berhubung kerja-kerja pemasangan paip gas di Kilometer (KM) 14.4 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) yang didakwa mengundang bahaya kepada pengguna.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dalam isu melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan nyawa rakyat, ia tidak boleh dipandang ringan.

"Saya amat memandang serius perkara ini dan telah mengarahkan pihak PLUS memberi laporan lengkap dan penuh kepada saya pada kadar segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Hantaran itu sebagai respons kepada aduan daripada pelakon dan aktivis, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi yang tular di media sosial baru-baru ini, mempersoalkan kerja-kerja pemasangan paip gas yang dikhuatiri mengundang bahaya kepada pengguna lebuh raya itu.

Dalam pada masa sama, Nanta turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Lando selain memuji usaha aktivis itu yang sentiasa peka kepada sebarang isu terkait keselamatan pengguna jalan raya.

Sementara itu, PLUS dalam kenyataan pada Khamis mengesahkan kerja-kerja pemasangan paip gas yang dijalankan oleh pihak ketiga di KM14.4 Lebuhraya ELITE dibuat tanpa kebenaran PLUS.

Menurut kenyataan itu, hasil penilaian dan siasatan jururunding PLUS mendapati laluan di KM14.4 di Lebuhraya ELITE adalah stabil dan selamat digunakan pengguna lebuh raya itu.

Pada masa yang sama PLUS memaklumkan kerja-kerja pembaikan telah dimulakan sejak Januari lepas dan pemantauan berterusan akan dilaksana di lokasi tersebut. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!