A Aida bantu Bella Astillah serlah bakat

Bella Astilah (kiri) dan A Aida.
Bella Astilah (kiri) dan A Aida.
A
A
A

PENERBIT Datuk A Aida menegaskan niatnya membantu pelakon dan penyanyi, Bella Astillah bukan kerana mahu menangguk di air keruh, sebaliknya bagi memberi motivasi kepada wanita itu untuk meneruskan kehidupan.

Ujar A Aida, salah satu daripada tiga projek yang diberikan kepada Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah sepatutnya dijayakan Ruhainies.

Bagaimanapun disebabkan timbul rasa kesal dan marah dengan kontroversi melibatkan pelakon itu dan suami Bella, Aliff Aziz, maka A Aida mengambil keputusan drastik untuk memberikan tawaran itu kepada Bella.

"Saya tak ambil pusing apa jua yang diperkatakan netizen. Sokong atau tidak, alhamdulillah.

"Semua (keputusan) ini muncul sebab Ruhainies sepatutnya akan berlakon di bawah syarikat produksi saya.

"Bagaimanapun selepas kontroversi yang berlaku, saya buat keputusan untuk gugurkan nama dia dan beri pada Bella.

"Bella pun dah serabut dengan masalah rumah tangga, jadi saya harap dengan tawaran yang diberikan, dia tak perlu fikir fasal duit untuk teruskan kehidupan," katanya kepada Sinar Harian.

Tiga tawaran itu adalah dua telefilem iaitu Elhan Untuk Nian yang juga adaptasi daripada novel dan Matahariku, manakala satu lagi adalah drama bersiri 13 episod berjudul Game Over Romeo.

Artikel Berkaitan:

Kesemua naskhah itu akan disiarkan menerusi Salam HD di Unifi TV.

Tambah A Aida, beliau juga sudah 'mengikat' bintang yang bakal menginjak ke usia 30 tahun itu selama setahun.

"Tujuan saya bagi tawaran tidak berhenti kerana saya tak mahu dia fikir masalah kewangan.

"Niat saya, mahu bantu untuk serlahkan bakatnya.

"Selepas ini, insya-ALLAH saya mahu Bella cuba jadi pengacara pula untuk saluran sama.

"Bukan hanya Bella, dari dulu, saya suka gilap bakat bintang baharu, latih mereka A sampai Z dan kemudian biarkan mereka bergerak sendiri seperti Siti Khadijah Halim," jelasnya.

Bukan hanya sekadar bercakap mengenai kerja, A Aida mengakui menasihatkan Bella tentang apa yang terbaik dalam hidupnya.

"Saya tidak terus beri nasihat, sebaliknya saya tanya apa perancangan dia.

"Sebenarnya tak kisah apa pun, saya tetap beri sokongan.

"Dalam masa sama, saya kongsi juga pengalaman saya sebab tak masuk akal kalau nak nasihat suruh sabar sahaja kerana pisang tak boleh berbuah lebih dua kali.

"Kalau lebih dua kali lebih elok tetapkan fikiran dan teruskan kehidupan," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!