Belia Perak mahu kerajaan segera henti polemik
AYAT FB: Sesetengah isu sebenarnya tidak perlu timbul dan boleh diselesai sekiranya kerajaan mengadakan perbincangan serta mendengar pandangan pemegang taruh terlebih dahulu sebelum sesuatu dasar diperkenalkan. - Aswannudin
IPOH - Majlis Belia Negeri (MBN) Perak menggesa kerajaan segera menghentikan sebarang polemik yang mencetuskan kebencian antara kaum di negara ini.
Presidennya, Aswannudin Hariffudin berkata, sesetengah isu sebenarnya tidak perlu timbul dan boleh diselesai sekiranya kerajaan mengadakan perbincangan serta mendengar pandangan pemegang taruh terlebih dahulu sebelum sesuatu dasar diperkenalkan.
Beliau berkata, kerajaan perlu bertindak sebagai kerajaan malah pemimpin mereka terutama menteri dan exco tidak seharusnya membuat kenyataan tidak selari dengan dasar yang diumumkan.
"Bagi MBN Perak, kita telah meletakkan perpaduan sebagai teras pertama dalam pembangunan belia di negeri ini. Tanpa perpaduan khususnya persefahaman dan toleransi sesama kita, maka mustahil untuk hidup dan membangunkan sebuah negara secara bersama dengan aman damai.
"Secara realitinya kepimpinan belia melihat, memerhati dan mengambil tahu tentang sebarang isu yang sedang diperbincangkan secara meluas di dalam negara. Tetapi pendekatan yang diambil oleh sebahagian besar kepimpinan belia adalah, kita tidak mahu polemik diperbesarkan lagi, tidak mahu menjadi batu api dan tidak rela dijadikan perkakas politik," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang mengingatkan kerajaan bahawa jika isu-isu perkauman dan agama tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh menghancurkan Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Hubungan kaum, agama semakin parah di Malaysia
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak, Muhammad Asree Abdul Aziz berkata, anak muda perlu menjadi penggerak dan peneraju dalam memastikan sifat kebencian dihapuskan serta merta melalui pengamalan prinsip kesederhanaan yang menjadi kunci kepada pembangunan negara.
Menurutnya, nilai bertolak ansur juga perlu diperbesarkan lagi penghayatannya serta perlu disertai dengan menghayati sejarah budaya dan kaum yang ada di negara ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu proaktif dan tegas dalam membuat sesuatu keputusan dalam memastikan ketenteraman perkauman di negara ini terus utuh.
"Dengan isu-isu perkauman yang banyak ditimbulkan pada hari ini, sepatutnya ia menjadi wakeup call kepada kerajaan dan parti politik supaya cukup-cukuplah berpolitik sebaliknya fokus membangunkan dan memajukan negara.
"Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak sama ada pimpinan kerajaan, ahli politik dan rakyat yang cuba menimbulkan atau mengancam isu-isu perkauman melalui ucapan, tindakan dan status di media sosial," katanya.
Muhammad Asree berkata, kerajaan seharusnya fokus membina sumber manusia yang dapat menyaingi dan mencipta impak yang lebih besar kepada kemajuan ekonomi di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!