Lelaki peras ugut selepas sengaja cetus kemalangan dijel 11 bulan

Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman penjara 11 bulan ke atas Ashroff Abdul Shukoor, yang tular di media sosial sengaja menyebabkan kemalangan sebelum memeras ugut bagi mendapatkan ganti rugi daripada pemilik kenderaan, tahun lepas. Foto Bernama
Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman penjara 11 bulan ke atas Ashroff Abdul Shukoor, yang tular di media sosial sengaja menyebabkan kemalangan sebelum memeras ugut bagi mendapatkan ganti rugi daripada pemilik kenderaan, tahun lepas. Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman penjara 11 bulan ke atas seorang penganggur yang tular di media sosial sengaja menyebabkan kemalangan sebelum memeras ugut bagi mendapatkan ganti rugi daripada pemilik kenderaan, tahun lepas.

Ashroff Abdul Shukoor, 41, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki terbabit sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita bahawa satu bencana akan berlaku kepadanya dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai RM50.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita bahawa satu bencana akan berlaku kepadanya dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai RM30.

Dia melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Jalan Tembaga, Jelutong di sini, pada 15 dan 30 November lepas, pada 2.05 dan 2.30 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Majistret menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan bagi pertuduhan pertama dan 10 bulan bagi pertuduhan kedua, yang berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 10 Mac lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali meminta mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal kerana tertuduh merancang melakukan jenayah itu.

Artikel Berkaitan:

Namun tertuduh merayu agar mahkamah memberikan hukuman minimum dalam bentuk penjara kerana dia tidak bekerja dan terpaksa menanggung ibu bapa yang uzur.

Sebelum ini, gambar dan video tertuduh tular di media sosial yang menunjukkan dia sengaja mencetuskan kemalangan dan meminta wang sebagai ganti rugi. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!