PDRM nafi Malaysia negara pengeksport dadah

Razarudin ketika merasmikan Majlis Penerimaaan Rasmi Polis Strike Craft Rigid Hull Assault Boat (RHAB) Pasukan Polis Marin di Johor Bahru pada Khamis.
Razarudin ketika merasmikan Majlis Penerimaaan Rasmi Polis Strike Craft Rigid Hull Assault Boat (RHAB) Pasukan Polis Marin di Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan Malaysia sebagai negara pengeksport dadah namun mengakui sering dijadikan hab atau transit pengedaran dadah oleh sindiket.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, negara ini dijadikan hab selepas dadah diseludup dari kawasan segi tiga emas di luar negara sebelum dibawa masuk antaranya ke Perlis, Johor dan Selangor.

"(Kemudian) ada pengedar yang edar (dadah dari Malaysia) ke Australia, New Zealand, Korea dan Australia.

"Ini saya mengaku berlaku (menjadi hab dadah, tetapi) seolah-olah kita 'produce' (hasilkan dadah), no way (tidak mungkin)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penerimaaan Rasmi Polis Strike Craft Rigid Hull Assault Boat (RHAB) Pasukan Polis Marin di sini pada Khamis.

Turut hadir, Komander Pasukan Polis Marin, Senior Asisten Komisioner Norzaid Mohamad Said dan Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar.

Razarudin mengulas sama ada Malaysia kini sudah menjadi negara yang mengeksport dadah.

Beliau berkata, berdasarkan serbuan dilakukan pihak polis pada tahun lalu hanya 20 makmal memproses dadah dibongkar dan kapasiti atau kemampuan pengeluaran bahan terlarang itu tidak mampu untuk dieksport.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, produktivi makmal-makmal dadah tersebut adalah kecil termasuk tiada dadah khusus yang dihasilkan di negara ini.

"Makmal-makmal dadah kita adalah kecil yang dapat daripada 'substance' yang kilang pakai ini, atau terhad, terlarang atau 'registered' ini boleh dibeli, ini yang diambil untuk membuat dadah.

"Kalau kita cakap negara pengeksport dadah (dan) seolah-olah negara kita negara buat dadah, saya tidak setuju.

"Jumlah buat (dadah) memang sangat sedikit untuk kegunaan tempatan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dadah baharu jenis fentanyl masih belum masuk ke negara ini sebaliknya dadah seperti syabu, yaba, ganja dan heroin yang dibawa masuk dari kawasan segi tiga emas berkenaan masih menjadi pilihan penagih.

"Penggunaan fentanyl di Eropah dan tidak masuk ke sini, tetapi kita tidak boleh mengambil ringan sebab tak masuk ke sini.

"Kalau dulu kokain dari Colombia, Mexico dan Guatamala tetapi sampai juga ke negara ini," ujar beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!