Tuntutan KRPPM-IGAR dapat respons positif kerajaan

Syed Ibrahim (tengah) bersama ahli sekretariat KRPPM-IGAR selepas mesyuarat yang berlangsung di bangunan Parlimen
Syed Ibrahim (tengah) bersama ahli sekretariat KRPPM-IGAR selepas mesyuarat yang berlangsung di bangunan Parlimen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa tuntutan yang dicadangkan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) khususnya agenda reformasi dalam institusi mendapat perhatian kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat KRPPM-IGAR kali ke-4 yang dipengerusikan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Menurut Syed Ibrahim, perkembangan mengenai isu membabitkan Akta Perkhidmatan Parlimen juga telah diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

"Sebagai KRPPM-IGAR, kita akur dan ambil maklum tentang perkembangan reformasi yang dilakukan kerajaan.

"Kita bincang juga tentang cara mempercepatkan, membantu dan memastikan semua reformasi ini boleh berjalan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan bersetuju secara prinsip meminda Perlembagaan Persekutuan dan menggubal akta berkenaan bagi memberi kuasa autonomi pentadbiran dan kewangan kepada Parlimen.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan, keputusan itu secara tidak langsung membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen diwujudkan untuk mengendalikan semua urusan pentadbiran Parlimen di bawah skim perkhidmatan baharu.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, tiga lagi cadangan akta berkaitan pemberi maklumat, pemisahan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya serta hak mendapat maklumat akan terus disuarakan hingga dibentangkan dalam Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Syed Ibrahim (dua dari kiri), Ka Siong (tiga dari kiri) dan ahli-ahli sekretariat KRPPM-IGAR termasuk Nurhayati Nordin (dua dari kiri) selepas mesyuarat di bangunan Parlimen pada Khamis.
Syed Ibrahim (dua dari kiri), Ka Siong (tiga dari kiri) dan ahli-ahli sekretariat KRPPM-IGAR termasuk Nurhayati Nordin (dua dari kiri) selepas mesyuarat di bangunan Parlimen pada Khamis.

"Rasuah Busters yang merupakan sekretariat KRPPM-IGAR akan meneruskan libat urus bersama ahli Parlimen dan pemegang taruh di pelbagai peringkat.

"Semak imbang melalui sekretariat dan golongan itu penting bagi memastikan reformasi yang dihasilkan dapat input komprehensif," ujarnya.

Sekretariat tersebut turut melakukan pertemuan dengan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk mendapatkan pandangan serta sokongan daripada bekas Menteri Pengangkutan itu terhadap cadangan yang dbawa.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!