Polis kesan dua lelaki samun pasangan suami isteri
TELUK INTAN - [DIKEMAS KINI] Polis sedang mengesan dua lelaki disyaki samun sepasang suami isteri dan melarikan wang berjumlah RM32,000 dalam kejadian di sebuah premis di Jalan Changkat Jong di sini, Rabu minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan polis diterima daripada mangsa yang juga seorang tukang masak di sebuah restoran pada Jumaat.
"Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah malam, mangsa berusia 48 tahun dan isterinya berusia 41 tahun yang tiba di bilik sewa telah didatangi dua suspek yang memaksa membuka pintu bilik.
"Suspek turut mengugut akan mencederakan mereka menyebabkan mangsa berasa takut dan membuka pintu bilik," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut beliau, suspek menggeledah bilik dan menemui wang tunai simpanan milik mangsa yang disimpan dalam beg pakaian.
"Selepas mendapatkan wang tersebut, suspek sempat menarik salah seorang mangsa masuk ke dalam kereta, namun mangsa berjaya melarikan diri.
"Kedua-dua mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan.
"Mangsa mengalami panik dan takut diganggu semula suspek telah membuat laporan polis dua hari kemudian selepas diarahkan oleh majikan mereka," katanya.
Ahmad Adnan berkata, hasil siasatan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an, berbadan gempal dan mempunyai ketinggian sekitar 175 sentimeter.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hasryman Osman di talian 05-6233969 atau 011-63319773 bagi membantu siasatan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!