Sisa makanan bazar Ramadan dijangka meningkat hingga 20 peratus

Arul Kumar (dua dari kanan) menunjukkan pelekat tanda sokongan peniaga terhadap program MySaveFood.
Arul Kumar (dua dari kanan) menunjukkan pelekat tanda sokongan peniaga terhadap program MySaveFood.
A
A
A

NILAI - Jumlah sisa buangan bahan makanan di bazar Ramadan di negeri ini dijangka meningkat 15 hingga 20 peratus berbanding tahun lalu.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, peningkatan itu berikutan pertambahan jumlah bazar Ramadan di kebanyakan tempat.

"Statistik menunjukkan jumlah sisa makanan yang berjaya diselamatkan meningkat setiap tahun.

"Pada tahun 2022, sebanyak 1,101.80 kilogram (kg) diselamatkan dan pada tahun lalu pula meningkat kepada 4,547.10kg dan kita jangkakan ia akan meningkat lagi dua kali ganda tahun ini berikutan pertambahan penjaja di bazar Ramadan," katanya pada sidang akhbar selepas Program MySaveFood dan Kempen Value Food No Waste di Bazar Ramadan, Bandar Baru Nilai di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Hazahar Hashim.

Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan tahun ini telah diperluaskan ke tujuh lokasi bazar Ramadan terpilih bermula pada Khamis.

Arul Kumar menerangkan kepada peniaga program MySaveFood.
Arul Kumar menerangkan kepada peniaga program MySaveFood.

Tambahnya, beliau berharap ia dapat diadakan sepanjang bulan Ramadan dan bukannya hanya 10 hari bagi mengelakkan pembaziran makanan selain dapat membantu mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Makanan yang tidak terjual ini boleh diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk masjid dan surau supaya ia tidak terbuang begitu saja.

"Kita berharap peniaga dapat memberi kerjasama bagi menjayakan program ini dan kita jangkakan kira-kira 100kg makanan dan minuman dapat diselamatkan setiap hari," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!