Dakwaan beras tempatan kurang hanya kes terpencil - Zahid
KLUANG - Dakwaan kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran pada masa kini hanyalah kes terpencil dan membabitkan beberapa kawasan sahaja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau isu kekurangan bekalan itu.
"Memang diakui ada kes terpencil tetapi saya sebagai jawatankuasa NACCOL ini akan bantu KPDN pantau keadaan semasa.
"Tentunya mekanisme telah diambil untuk menentukan bekalan beras tempatan mencukupi.
"Ia juga bagi memastikan tidak berlaku kejadian kes kekurangan bekalan beras tempatan di kawasan terpencil dan isu ini dapat diatasi dengan segera," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Layang-layang, Simpang Renggam di sini pada Khamis.
Pada Rabu, media melaporkan seorang ahli Parlimen mempersoal sama ada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negara bagi Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan maklumat yang tepat mengenai bekalan beras putih di negara ini.
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menimbulkan persoalan sedemikian berikutan situasi di lapangan yang dilakukan oleh pasukannya tiga hari lalu.
Syed Abu Hussin dilaporkan berkata, semakan pasukan pemantau di 30 lokasi di Semenanjung mendapati tiada bekalan beras putih tempatan di pasaran.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!