Dua lelaki maut dalam insiden berbalas tembakan di Pattani
PATTANI - Seramai dua lelaki yang disyaki anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN), maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan renjer di Pattani pada awal pagi Khamis.
Renjer telah mengepung sebuah rumah di Sai Buri dipercayai menjadi tempat persembunyian suspek.
Komander Pasukan Renjer Wilayah Sempadan Selatan, Kol Satiraphong Athan berkata, pihak berkuasa cuba memujuk suspek supaya menyerah diri namun gagal berbuat demikian.
Suspek sebaliknya melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.
"Dengan gas pemedih mata, renjer masuk ke dalam rumah dan berlaku kejadian berbalas tembakan.
"Seorang lelaki jatuh dari siling dan meninggal dunia. Kami menemukan sepucuk pistol berhampiran mayatnya,” katanya kepada pemberita.
Dalam satu lagi kejadian, komander berkata, seorang lelaki yang cuba melarikan diri ditembak mati dan terperangkap dalam siling rumah.
Pihak berkuasa kemudiannya mengenal pasti kedua-dua lelaki itu sebagai individu dikehendaki mahkamah Pattani atas kesalahan berkaitan keselamatan. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!