'Dua tahun tak cukup buat persiapan Sukan Komanwel'

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

MALAYSIA wajar menilai secara menyeluruh dan mendalam sebelum membuat keputusan menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri sebagai tuan rumah temasya itu pada 2026.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tempoh dua tahun merupakan satu masa yang singkat buat negara untuk membuat persiapan menganjurkan temasya besar tersebut.

Malah beliau berkata, cadangan untuk menjadi hos bukan dibuat dengan terancang sebaliknya secara mengejut apabila Victoria menarik diri daripada menjadi tuan rumah.

“CGF melihat Malaysia layak untuk menggantikan Victoria sebagai tuan rumah sebab negara pernah menganjurkannya pada tahun 1998. Namun ia bukan perancangan teliti, tetapi secara ad hoc apabila Victoria menarik diri.

"Saya lihat masa tidak sesuai (jadi tuan rumah Sukan Komanwel). Kita tidak mempunyai masa yang cukup untuk buat venue, penyediaan sukarelawan, aspek keselamatan dan penglibatan agensi-agensi yang lain.

"Lazimnya pengumuman hak tuan rumah dibuat awal iaitu dua kitaran Olimpik atau lapan tahun. Ia bagi memberi peluang kepada tuan rumah membuat persiapan fasiliti dan program pembangunan atlet," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Sebagai tuan rumah, CGF menawarkan Malaysia dana 100 juta pound (RM601 juta) bagi menyokong perancangan menganjurkan edisi 2026 dan akan mengurangkan beban kewangan menganjurkan temasya sukan itu.

Reezal Merican turut melihat penganjuran temasya tersebut memerlukan belanja yang besar dan negara pula akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN 2025 - satu persidangan besar di rantau ini yang turut melibatkan kehadiran pemimpin-pemimpin utama dunia.

“Persidangan ini memerlukan belanja yang tinggi dan persiapan yang sangat rapi kerana ia melibatkan kedatangan pemimpin besar dunia seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Korea Selatan.

“Malaysia ada pengalaman (tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN) pada 2015. Bukan tidak mampu buat (anjur) tetapi ruang yang ada amat terbatas untuk buat persiapan persidangan berskala antarabangsa dan Sukan Komanwel,” katanya.

Justeru beliau menyarankan agar Malaysia memberi fokus untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia secara bersendirian dan Sukan Olimpik bersama negara anggota ASEAN yang lain pada masa depan.

Tambah beliau, Sukan Asia mampu menjadi platform pembentukan atlet elit bagi meraih pingat dan seterusnya meningkatkan prestasi mereka untuk lebih berdaya saing dalam Sukan Olimpik.

“Sukan Asia menjadi medan untuk menonjolkan atlet elit negara dan lebih menyerlah untuk memburu pingat pada Sukan Olimpik,” katanya.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memaklumkan telah memulakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan mengenai cadangan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 susulan undangan rasmi daripada CGF kepada MOM yang juga dikenali sebagai Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lalu.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, CGA Malaysia berpandangan kerajaan perlu menimbangkan peluang 'sekali seumur hidup' itu, di samping sokongan serta pelaburan kewangan berkaitan, meneruskan legasi kejayaan Malaysia yang pernah menganjurkan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan mengembalikan kemegahan negara dalam arena sukan dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Rabu memaklumkan perbincangan mengenai perkara tersebut akan dibawa untuk perbincangan Kabinet pada minggu depan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!