Ragam ibu ayah dalam grup WhatsApp anak

Tahun ini, KPM akan meneruskan pendekatan baharu, tiada pengajaran dan pembelajaran (PDP) dalam bilik darjah pada minggu pertama. Gambar hiasan
Tahun ini, KPM akan meneruskan pendekatan baharu, tiada pengajaran dan pembelajaran (PDP) dalam bilik darjah pada minggu pertama. Gambar hiasan
A
A
A

MINGGU ini pasti ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah mula sibuk. Manakan tidak, Ramadan juga jatuh pada hari kedua persekolahan (bagi sekolah Kumpulan B).

Kaum ibu antara orang yang paling sibuk kerana mahu menyediakan sahur dan menguruskan anak yang bersekolah.

Lebih-lebih lagi jika ibu yang bekerja, pasti perlu menguruskan masa dengan betul agar semua urusan berjalan lancar.

Tapi kesibukan ibu ayah menguruskan urusan persekolahan bermula dari cuti sekolah lagi. Daripada urusan membeli baju sekolah sehinggalah buku-buku dan membayar yuran semuanya perlu dilakukan sebelum buka sekolah.

Grup WhatsApp kelas sudah ‘kalut’ dari awal lagi. Tak henti-henti notifikasi mesej masuk. Ada sahaja pertanyaan daripada ibu ayah yang bimbang terlepas segala informasi berkaitan sekolah.

Kalau diikutkan objektif membuat grup WhatsApp itu bagus kerana boleh mengetahui segala info sekolah dan barang yang perlu dibawa anak ke sekolah.

Namun kadangkala ada segelintir ibu ayah ini bertanyakan soalan yang sudah berapa kali diterangkan oleh guru kelas. Tidak tahu di mana silapnya mengapa susah sangat hendak faham.

Jika mesej lambat dibalas guru kelas, sentap pula. Boleh bayang pening guru kelas dibuatnya. Bukan sahaja melayan anak di sekolah, di WhatsApp terpaksa melayan kerenah ibu bapa pula.

Artikel Berkaitan:

Tapi nak tergelak juga lihat perangai ibu bapa yang kadangkala menyuruh cikgu memberi pesanan kepada anaknya untuk benda-benda remeh seperti ‘nanti tolong tengokkan anak saya cikgu, dia terlupa bawa buku latihan’, ‘esok kena pakai baju apa cikgu, uniform ke PJ?’, ‘seluar PJ kalau saya beli warna biru tapi ada jalur putih boleh ke’, ‘cikgu saya dah letak borang dalam beg anak saya, nanti cikgu tengokkan ye’.

Walaupun sudah diterangkan tapi masih lagi bertanya soalan sama. Bagi penulis, mesej yang diberikan cikgu sangat jelas dan mudah difahami.

Bayangkan kalau ibu ayah itu mempunyai enam anak, maksudnya perlu layan dan baca mesej di enam grup WhatsApp sekolah yang tak henti-henti berbunyi.

Teringat penulis masa kita sekolah dahulu tiada grup WhatsApp pun tapi boleh sahaja dapat info daripada cikgu. Catat segala benda yang perlu dibawa dan ingat pesanan cikgu. Kalau terlupa bawa buku atau bahan untuk Pendidikan Seni, reda dan tadah telinga sahajalah.

Kalau tak kena marah, berdiri di luar kelas atau panjat kerusi. Tapi momen begitu yang membuatkan pelajar dulu takut kalau tak dengar cakap cikgu dan akan disiplin untuk mengingati segala pesanan yang disampaikan. Malu nanti kena ‘bahan’ dengan kawan-kawan sebab berdiri di luar kelas lagi.

Jika tersilap mengambil barang atau tertukar kasut dengan kawan, pandai-pandailah esok kita pergi sekolah cari semula barang yang tertukar.

Tak perlu ibu bapa nak sibuk tanya dalam grup WhatsApp macam sekarang.

Sebab itu pelajar dulu boleh berdikari sejak awal usia lagi kerana diajar untuk buat segalanya sendiri.

Sebaliknya, pelajar sekarang hanya mengharapkan ibu bapa yang mendapat info daripada grup kelas sahaja.

Dari sekecil-kecil info sehinggalah kerja sekolah semuanya perlu diberi pesanan dalam grup WhatsApp. Tengok anak balik relaks sahaja, bila tanya kerja sekolah baru teringat nak buat.

Cikgu dulu pun tak stres kerana hanya memikirkan hal sekolah apabila berada di sekolah sahaja.

Tidak perlu memikirkan kerenah ibu bapa yang pelbagai ragam sejak ada grup kelas. Seeloknya sebagai ibu bapa, kita perlu mengajar anak kita untuk mengambil tanggungjawab mengingati segala pesanan cikgu di sekolah.

Latih mereka agar bertanya sendiri jika tidak faham, bukan wakilkan ibu bapa bertanyakan soalan bagi pihak anak dalam grup kelas. Cukup-cukuplah membebankan tugas hakiki guru yang memang sudah sedia berat.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!