Sukarelawan 'istimewa' pelajar dari Amerika Syarikat
SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 bukan sahaja dihadiri umat Islam malah turut dimeriahkan oleh sekumpulan pelajar dari Babson College, Amerika Syarikat (AS) yang bersama-sama merasai keindahan majlis berbuka puasa secara beramai-ramai.
Penasihat pelajar, Sarah Perrin, 28, berkata, walaupun berlainan agama, tetapi keseronokan untuk berbuka puasa bersama rakan-rakan Muslim yang lain memberi pengalaman baharu.
“Saya tahu mengenai tuntutan umat Islam untuk berpuasa, namun saya tidak pernah membayangkan ada majlis berbuka puasa seperti ini (Iftar Ala Madinah) kerana di Amerika Syarikat tidak semeriah ini.
“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika ini apabila melihat orang ramai yang hadir kelihatan begitu gembira walaupun seharian suntuk mereka berpuasa. Saya dapat merasakan mereka begitu teruja.
“Ini merupakan pengalaman paling bermakna sepanjang lawatan Babson College ke Malaysia kerana saya dapat merasai pengalaman baharu dan budaya rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Dalam pada itu, Sarah memberitahu, dia teruja apabila pihak Kumpulan Karangkraf membenarkan para pelajar dari AS itu untuk menjadi sukarelawan Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024.
Menurutnya, dia tidak berpeluang untuk menjadi sukarelawan untuk mana-mana majlis acara berbuka puasa di AS kerana ia diadakan dalam keadaan sederhana, tertutup dan tidak semeriah ini.
“Apabila dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa kami akan ke Karangkraf untuk mengadakan lawatan sambil belajar dan bersama-sama mengikuti acara majlis berbuka puasa, jadi saya ambil peluang ini untuk berpakaian sopan dan bertudung.
“Ini merupakan kali pertama saya mengenakan hijab. Syukur saya ada rakan beragama Islam yang membantu saya untuk memakai tudung untuk menghormati majlis,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar Babson College, Faija Choudhury, 22, berkata, kemeriahan berbuka puasa di Iftar Ala Madinah sememangnya berbeza jika mahu dibandingkan di AS.
Menurutnya, di AS turut ada komuniti yang menganut agama Islam, namun suasana dan penyertaan orang ramai tidak seramai seperti di acara berkenaan.
“Alhamdulillah, saya begitu gembira kerana berpeluang untuk berbuka bersama saudara Muslim di Malaysia. Ini merupakan satu pengamalan baharu buat saya.
“Walaupun ini bukan kali pertama saya berbuka beramai-ramai tetapi saya dapat merasakan satu keseronokan yang berbeza di samping mengenali budaya rakyat Malaysia,” ujarnya.
Mengulas mengenai inisiatif Karangkraf dalam memberikan makanan percuma, Faija berkata, ia satu usaha yang begitu menarik dalam membantu masyarakat.
“Saya dimaklumkan juadah berbuka puasa hari ini (Rabu) ada 10 jenis menu makanan dan kesemua itu bukan sajian biasa. Jadi tak mustahil ramai orang hadir ke acara ini,” katanya yang teruja mencuba masakan Malaysia.
Program Iftar Ala Madinah @ Karangkraf 2024 bermula 13 Mac hingga 4 April terbuka kepada 1,000 tetamu setiap hari bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!