Bekas ADUN Nenggiri jual air nira, hasilkan lebih 100 botol sehari
GUA MUSANG - Selepas bersara daripada dunia politik, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, 63, beralih menceburi bidang perniagaan dengan menghasilkan air nira lebih 100 botol sehari sempena bulan Ramadan tahun ini.
Beliau berkata, permintaan air nira ini semakin meningkat berbanding tahun lepas kerana orang ramai sudah mengenali produk yang dihasilkannya sebelum ini yang terbukti berkualiti tinggi dan tahan lama.
"Menyedari kekurangan pengusaha kelapa pandan di jajahan ini, saya cuba menggunakan peluang yang ada untuk jual air nira yang diproses segar dari kebun seluas 0.8 hektar dekat Kampung Lepan Jaya, di sini.
"Air nira ini dijual pada harga RM5 sebotol dan menjadi tumpuan pembeli ketika bulan puasa, jadi saya dan pekerja akan bergilir-gilir setiap hari untuk menyadap air nira kelapa pandan," katanya kepada pemberita di Kampung Lepan Jaya, hari ini.
Sementara itu bagi pekerja Abdullah Salleh, 72, pula berkata, proses menyadap dan mengutip nira dilakukan selama sejam setiap hari dan beberapa peringkat perlu dilakukan sebelum mendapat air tadahan nira yang banyak.
"Seawal pukul 6 pagi saya akan mula menadah air nira dan mengutip air tadahan selepas 12 jam.
"Mayang kelapa perlu ditarik menghala ke bawah dan diikat terlebih dahulu, sebelum hujung mayang disadap (dipotong) sedikit.
"Selepas seminggu barulah kita dapat menadah air nira ini," katanya.
Beliau berkata, keratan kayu cengal yang diletakkan di dalam bekas tadahan nira kelapa turut dimasukkan sebagai bahan pengawet semula jadi untuk memastikan minuman itu tahan lebih lama dan tidak masam. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!