Kerajaan bakal bangunkan teknologi tuai kelapa sawit
KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang untuk membangunkan teknologi menuai kelapa sawit sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing pada masa akan datang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, kementeriannya dan Kementerian Perladangan dan Komoditi akan bekerjasama untuk membentuk satu jawatankuasa khas bagi menjayakannya.
Menurutnya, ia sebahagian daripada persediaan negara bagi menghadapi kemungkinan masalah buruh dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang.
“Kita masih dalam perbincangan dalam menjayakan kerjasama ini. Antara rancangannya adalah menjemput pakar-pakar berkaitan untuk bentuk satu pasukan membangunkan teknologi ini.
“Dalam sektor kelapa sawit, kita ada menggunakan teknologi tapi untuk menuai, ia masih terhad menyebabkan pergantungan kepada pekerja terutamanya buruh asing masih tinggi.
“Sektor ini banyak memerlukan tenaga buruh dan kita jangka akan menghadapi masalah mungkin lima ke 10 tahun akan datang. Sebab itu, persediaan awal perlu dilakukan bagi mengurangkan tenaga buruh dalam sektor perladangan, terutamanya kelapa sawit,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa di ibu negara pada malam Khamis.
Untuk rekod, sektor minyak sawit terus bergelut dengan isu kekurangan tenaga kerja, khususnya buruh asing bagi proses tuaian, lanjutan daripada penutupan sempadan sewaktu pandemik pada 2020 dan langkah-langkah penguatkuasaan seterusnya antara negara-negara.
Syarikat-syarikat perladangan melaporkan kekurangan hampir 42,000 tenaga kerja bagi usaha penuaian dan aktiviti kutipan di lapangan dengan jumlah kekurangan tertinggi kira-kira 55 peratus yang turut merugikan kerajaan dalam nilai berbilion ringgit.
Sementara itu, ditanya tentang perkembangan Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN), beliau menjelaskan, ia kini di peringkat ‘request for proposal’ (RFP).
“RFP telah dimulakan dengan mewajibkan syarikat yang berminat menyertai sesi penerangan dan lawatan tapak selama dua hari pada 29 dan 30 Januari lalu.
“Syarikat-syarikat yang berminat perlu mengemukakan kertas cadangan selewat-lewatnya pada Julai 2024. Pelancaran satelit penderiaan jauh yang dibangunkan dalam projek ini dijangka akan dilancarkan ke angkasa lepas pada tahun 2026,” jelasnya.
Ujar beliau, buat masa ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM20 juta setahun untuk membeli data satelit penderiaan jauh daripada syarikat luar negara termasuk dari Amerika Syarikat dan Perancis.
Justeru katanya, tujuan pelaksanaan PSPJN adalah untuk memperkasa pemilikan data-data strategik negara melalui pengendalian sendiri satelit, selain mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber data dan teknologi satelit luar.
“Paling penting adalah memastikan kedaulatan dan keselamatan negara diperkukuhkan melalui sektor teknologi angkasa.
“Kita juga berharap pelaksanaannya akan memperkasa kepakaran tempatan dan kapasiti infrastruktur angkasa negara serta merangsang pertumbuhan industri angkasa tempatan sebagai sumber ekonomi baharu negara,” jelas beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!