Thaksin buat penampilan umum pertama sejak dibebaskan dari penjara
CHIANG MAI - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra melawat kampung halamannya di utara negara itu ketika membuat penampilan umum pertamanya sejak dibebaskan awal daripada hukuman penjara kerana rasuah dan salah guna kuasa.
Jutawan kontroversi yang dua kali dipilih sebagai Perdana Menteri dan digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006, berkunjung ke Kuil Bangkok City Pillar sebelum terbang dengan jet peribadi untuk lawatan tiga hari ke Chiang Mai.
Selepas mendarat di Chiang Mai, yang juga bandar kelahiran dan pangkalan kuasa politik tradisionalnya, kira-kira jam 9.40 pagi (waktu tempatan), Thaksin disambut oleh keluarganya sebelum menuju ke taman bertemu penyokongnya.
Menurut para penyokongnya, mereka menunggu pemimpin itu sejak lebih 17 tahun lalu dan sangat teruja selepas dapat berjumpanya.
Sebelum itu, ramai media berkhemah di hadapan Kuil Bangkok di mana Thaksin tiba untuk berdoa sekitar jam 5 pagi.
Beliau ditemani anak perempuannya Paetongtarn yang kini merupakan ketua Parti Pheu Thai bersama suaminya.
Thaksin, 74, kembali ke Thailand pada Ogos tahun lalu selepas 15 tahun hidup dalam buangan dan serta-merta dipenjarakan selama lapan tahun atas pertuduhan ketika zaman beliau berkuasa.
Bagaimanapun, hukumannya dikurangkan selama setahun oleh Raja Maha Vajiralongkorn dan pada bulan lalu kerajaan memutuskan Thaksin layak dibebaskan awal kerana usia dan tahap kesihatannya. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!