Pearly-Thinaah dapat tonik tambahan
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meraih tonik tambahan setelah berjaya menumpaskan pasangan pertama dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England pada malam Khamis.
Pasangan negara yang menghuni ranking ke-15 dunia memperoleh lonjakan semangat baharu kerana ia merupakan kemenangan pertama ke atas lawan dari China itu daripada enam pertemuan sebelum ini.
Pearly-Thinaah menundukkan jaguh China itu menerusi kemenangan straight set 22-20, 21-16 dalam tempoh 49 minit permainan di Utilita Arena, Birmingham.
"Ia (kemenangan) membantu dari segi tahap keyakinan kami.
"Ini kerana kami beraksi agak kurang baik sejak kebelakangan ini.
"Namun setiap kali tewas kami hanya mahu kembali perbaiki permainan dan beraksi dengan lebih baik.
"Sememangnya kami masih lagi ada ruang untuk penambahbaikan selepas tamat permainan," ujar Thinaah.
Dalam aksi suku akhir malam ini, Pearly-Thinaah akan menentang pasangan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto yang menewaskan wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 14-21, 21-10, 21-16.
Mengulas mengenai aksi menentang jaguh China itu, Pearly menyifatkan kecederaan yang dialami Yi Fan mungkin menjejaskan rentak permainan mereka.
"Kami berjaya menang.
"Saya beranggapan Yi Fan mengalami sedikit kecederaan.
"Jadi kami hanya kekal fokus kepada perlawanan," katanya.
Malah Thinaah enggan terganggu dengan psikologi permainan lawan, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada strategi yang mereka rancang.
"Kami cuma ingatkan sesama sendiri agar kekal fokus jangan fikirkan sangat apa sahaja termasuk kecederaan pihak lawan.
"Kami cuma mahu bermain baik mengikut strategi kami sahaja dan kurangkan kesilapan dan ia berjaya," ujar Thinaah.
Mengulas persiapan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Julai depan, Pearly berharap perjalanan ke Perancis berjalan dengan lancar.
"Saya masih ada latihan untuk membina kekuatan otot dan elakkan sebarang kecederaan.
"Jadi harap semuanya berjalan lancar dan kami dapat teruskan momentum seperti ini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!