Ramai rakyat Rusia masih setia kepada Putin
MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin dijangka kekal mentadbir buat penggal kelima di republik itu.
Malah, sekiranya menang, pemimpin di sebalik tercetusnya peperangan di Ukraine itu akan terus memperluaskan kuasanya pada bila-bila masa sejak 24 tahun yang lalu.
CNN melaporkan, tinjauan pendapat terbaharu dari Pusat Levada di Moscow mendapati, kira-kira 86 peratus individu masih mempercayai kepimpinan Putin.
Seperti diketahui, di sesebuah negara di mana pengkritik dikenakan tindakan tegas seperti dipenjarakan, dibuang negeri atau dibunuh, sudah pasti tinjauan sedemikian wujud kecacatan.
Ini berlaku ekoran propaganda pro-Kremlin yang berterusan disiarkan di media yang dikawal negara di mana kebanyakan rakyat Rusia mempunyai akses terhadap berita-berita tersebut.
Namun, ketika mana pilihan raya negara itu semakin hampir, ramai rakyat Rusia didapati menyokong beliau.
Menurut seorang penduduk dari Republik Komi, dikenali sebagai Dmitry, dia pasti akan mengundi Putin kerana presiden itu menjadikan Rusia negara yang lebih baik.
Malah, Dmitry menganggap Putin tidak bertanggungjawab ke atas penglibatan Rusia dalam perang di Ukraine.
Seorang lagi penduduk tempatan bernama Sergey pula menyatakan pekerjaannya terjamin dan stabil dengan faedah kesihatan yang baik di Rusia.
Jjusteru itu, dia tidak perlu risau atau beralih kepada pemimpin lain untuk mengetuai sebuah negara besar seperti Rusia.
Sergey turut menolak dakwaan bahawa sekatan antarabangsa ke atas Rusia telah menjadikan negara itu lebih miskin.
Katanya, sebagai rakyat Rusia, dia tidak merasakan apa-apa kesan sekatan yang dikenakan ke atas negaranya.
Pilihan Raya Presiden Rusia akan diadakan dari 15 hingga 17 Mac 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!