Pindaan tempoh MPP buka ruang penyalahgunaan kuasa

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM)
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM)
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan kepada Seksyen 48 (4) Jadual Pertama Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) berkaitan pengubahan tempoh lantikan majlis perwakilan pelajar (MPP) hanya akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam satu kenyataan berkata, walaupun pindaan-pindaan terhadap AUKU akan mengorak langkah ke arah pemerkasaan autonomi pelajar, namun terdapat pindaan yang dikemukakan masih tidak berasas.

Menurutnya, sebelum ini ahli MPP dan pemegang jawatannya hendaklah dipilih selama satu tahun.

“Bagaimanapun, pindaan ini akan memberikan kuasa kepada ahli lembaga untuk memanjangkan atau memendekkan tempoh MPP. Ia sekali gus akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

“Tanpa limitasi ataupun garis panduan yang komprehensif, ahli lembaga akan menyalahgunakan Seksyen 48(4) untuk memendekkan tempoh MPP tanpa sebab yang munasabah ataupun demi kepentingan diri dan politik tanpa mengira kepentingan pelajar.

“Ia harus dikekalkan dan tempoh pemegangan jawatan MPP haruslah ditetapkan selama setahun agar mereka dapat melaksanakan manifesto serta mentadbir urus kebajikan mahasiswa tanpa gangguan luar daripada pihak-pihak yang tidak berkenaan,” menurut kenyataan pada Jumaat.

Tambah KMUM, sekiranya terdapat ahli MPP yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka, proses perlucutan jawatan seharusnya dikendalikan oleh Majlis Tertinggi MPP dan bukannya ahli lembaga.

Selain itu, KMUM berpendapat bahawa perkara-perkara lain dalam Seksyen 48 wajar dipinda seperti seksyen 48(1A) iaitu peraturan-peraturan untuk menjalankan pemilihan MPP dan segala perkara yang berhubungan dengannya seharusnya diurus oleh pelajar sendiri manakala ahli lembaga tidak patut campur tangan dalam pembuatan peraturan serta proses pengundian ahli MPP.

Artikel Berkaitan:

“Secara asasnya, MPP sepatutnya dapat menguruskan urusan sendiri tanpa campur tangan daripada pentadbiran universiti, terutamanya dalam hal pengurusan pilihan raya kampus dan tempoh bertugas sebagai MPP setelah diamanahkan oleh pelajar-pelajar.

“Walaupun pindaan-pindaan lain yang dikemukakan adalah penting untuk memantapkan autonomi pelajar, KMUM kekal dengan pendirian iaitu AUKU harus dimansuhkan untuk mencapai autonomi universiti yang sepenuhnya tanpa pencampuran kuasa pihak luar demi kepentingan politik semata-mata.

“KMUM kekal komited dalam perjuangan kami dan menyeru pelajar Universiti Malaya untuk menyokong usaha yang dilakukan,” jelasnya.

Pada 11 Mac 2024, Kementerian Pendidikan Tinggi telah mengadakan sesi taklimat kepada ahli parlimen Malaysia mengenai Rang Undang-Undang AUKU dan menerangkan enam pindaan yang akan dilakukan.

Antara pindaan utama yang akan dilakukan adalah kebenaran diberikan kepada majlis perwakilan pelajar (MPP) dan badan pelajar untuk memungut wang atau menerima sumbangan, penyelarasan tempoh pemilihan MPP berdasarkan kalendar akademik serta pemantapan amalan tadbir urus tatatertib pelajar universiti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!