Peniaga sup daging mohon maaf, pulangkan semula wang pelanggan
MELAKA - Peniaga bazar Ramadan yang didakwa menjual sup daging dengan 'pakej' telur lalat sehingga tular di media sosial meminta maaf atas insiden terbabit.
Mengulas perkara itu, Samsudin Jaafar, 69, berkata, beliau tidak menyedari kehadiran telur lalat dalam makanan tersebut dan atas rasa tanggungjawab, beliau telah memulangkan semula wang RM10 kepada pelanggan terbabit.
Menurutnya, selama 25 tahun berniaga di pasar tani dan bazar Ramadan, ia merupakan insiden kali pertama berlaku, dalam masa sama menolak dakwaan sup itu sudah berbau kerana tiada aduan diterima daripada pelanggan lain.
"Saya akui, mungkin silap saya tak perasan ada telur lalat tapi sup gearbox yang dijual kepada pelanggan berkenaan tidak berbau dan masih elok.
"Cuma saya kesal, kenapalah perkara sekecil itu tidak dimaklumkan kepada saya pada masa itu sehingga tular," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Ujarnya, selepas tular gambar sup daging ada telur lalat, ramai kenalan dan pelanggan tetap menghubunginya dan terkejut dengan dakwaan tersebut.
Jelasnya, atas rasa tanggungjawab susulan insiden tersebut anaknya telah berjaya menghubungi pelanggan terbabit dan memulangkan semula wang RM10.
Malah katanya, ada di antara rakan yang mengetahui kejadian berkenaan menawarkan khidmat guaman untuk membawa kes terbabit ke mahkamah.
"Tapi saya menolaknya secara baik. Walaupun kes ini kecil, namun ia amat mengganggu emosi saya.
"Terkilan sebagai sesama umat Islam, kenapa saya diperlakukan sebegitu.
"Saya berharap kes ini jadi pengajaran kepada orang ramai agar memilih untuk menegur cara baik dan bukannya tular di media sosial," katanya lagi.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan seorang wanita meluahkan kekecewaan apabila mendakwa sup daging yang dibelinya di sebuah bazar Ramadan Semabok pada petang Rabu, terdapat telur lalat.
Wanita berkenaan yang datang dari Johor Bahru singgah di bazar tersebut untuk membeli juadah berbuka terkejut selepas pulang ke rumah mendapati telur lalat di bahagian rongga tulang dalam bekas sup itu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!