8 PATI dari tiga negara termasuk Hong Kong ditahan

Tangkapan PATI wanita warga Thailand dibuat oleh imigresen. Antara PATI ditahan di sebuah premis di Kota Bharu. Gambar kecil: Mohd Faizal
Tangkapan PATI wanita warga Thailand dibuat oleh imigresen. Antara PATI ditahan di sebuah premis di Kota Bharu. Gambar kecil: Mohd Faizal
A
A
A

KOTA BHARU - Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari tiga negara iaitu Thailand, Indonesia dan Hong Kong ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan di sekitar bandar, di sini pada Rabu serta Khamis.

Pengarah Imigresen Kelantan, Mohd Faizal Shamsudin berkata, kesemua mereka berusia 30 hingga 50 tahun itu ditahan dalam Ops Sapu/Belanja bermula jam 10 malam hingga 4 pagi.

“Bertindak atas hasil risikan dari Bahagian Penguatkuasa, JIM Kelantan membuat pemeriksaan terhadap warga asing di sekitar bandar antaranya di beberapa premis Bangunan Majlis Daerah Jalan Pasar, Jalan Che Su, Jalan Post Office Lama dan beberapa buah rumah di Kampung Che Deris serta Pulau Gajah.

“JIM Kelantan berjaya menahan masing-masing satu lelaki warga Hong Kong, dua lelaki dan empat wanita Thailand,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua warga asing terbabit dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

“JIM Negeri Kelantan menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!