Taktik warga Thailand menyamar pelancong untuk edar dadah

Hussein (tiga dari kanan) menunjukkan antara dadah jenis ganja yang dirampas susulan tumpasnya sindiket pengedaran dadah didalangi warga Thailand pada Rabu.
Hussein (tiga dari kanan) menunjukkan antara dadah jenis ganja yang dirampas susulan tumpasnya sindiket pengedaran dadah didalangi warga Thailand pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Taktik dua pasangan suami isteri warga Thailand yang masuk ke negara ini sebagai pelancong untuk mengedar dadah terbongkar apabila keempat-empatnya diberkas di sebuah inap desa di Kajang, Balakong pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keempat-empat mereka yang merupakan dalang sindiket pengedaran dadah itu dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu, telah masuk ke negara ini dua kali pada tahun lepas berdasarkan semakan rekod imigresen dan kali terakhir pada tahun ini sebelum ditangkap.

Menurutnya, penahanan keempat-empat suspek dibuat susulan tangkapan ke atas dua lelaki warga tempatan dipercayai transporter dalam sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger bersama 40 ketulan ganja dengan anggaran berat 40.1 kilogram di kawasan Subang Jaya pada jam 2 petang.

"Siasatan dijalankan kemudian membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Ampang Jaya sebelum merampas 50 ketulan ganja dengan berat 50.3 kilogram," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dekat sini pada Jumaat.

Menurutnya, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu turut mendapati kedua-duanya memiliki rekod jenayah lampau selain saringan dijalankan mendapati mereka positif dadah.

Antara dadah jenis ganja yang dirampas susulan tumpasnya sindiket pengedaran dadah didalangi warga Thailand pada Rabu.
Antara dadah jenis ganja yang dirampas susulan tumpasnya sindiket pengedaran dadah didalangi warga Thailand pada Rabu.

Susulan penahanan dua suspek terbabit katanya, serbuan kemudiannya membawa kepada tangkapan empat warga Thailand terbabit di sebuah inap desa di Balakong, Kajang serta rampasan air ketum dengan anggaran 1,500 mililiter.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kesemua enam suspek yang ditahan berumur antara 26 hingga 32 tahun.

Mengulas lanjut katanya, siasatan mendapati dadah terbabit dibawa dari negara jiran menggunakan khidmat transporter sebelum dua pasangan suami isteri tersebut menjualnya di pasaran sekitar Lembah Klang.

"Nilai rampasan dadah bagi kes ini adalah sebanyak RM281,000 selain sitaan kenderaan dan pelbagai barangan kemas di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakkan harta) 1988," katanya.

Dalam kes berasingan, seorang buruh binaan diberkas di kawasan tepi Jalan Sabak Bernam bersama 8,900 biji eramin 5 pada 10 Mac lalu.

Hussein berkata, suspek diberkas kira-kira jam 3 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sabak Bernam.

"Suspek berumur 44 tahun itu didapati memiliki lima rekod berkait dadah berstatus masih dikehendaki.

"Hasil saringan dijalankan mendapati suspek positif dadah selain rampasan dadah dijalankan dianggarkan bernilai RM145,000," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes terbabit disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!