Lapan rakan didakwa sertai perhimpunan haram, cederakan lelaki
SUNGAI SIPUT - Lapan rakan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Jumaat atas tuduhan mencederakan seorang lelaki ketika menyertai perhimpunan haram, Isnin lalu.
Tertuduh, K Lengeswaran, 23; S Thinakaren, 23, dan M Akkaskumar, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil dihadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.
Bagaimanapun lima lagi tertuduh, S Guna Segaran, 21; K Logen, 22; A Ignisrao, 26; M Nagaraj, 23 dan R Naresh, 24, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan terhadap mereka.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa adalah ahli suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan mendatangkan kecederaan kepada V Arvind Ranair, 28, yang mana semasa perhimpunan itu semua ahli atau lebih daripada seorang memukul dan mendatangkan kecederaan pada tubuh mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi tokong kecil bersebelahan jalan utama Taman Tun Sambanthan di sini pada jam 9.30 malam hingga 11.15 malam, Isnin lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 323 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Vitthiyeswary memohon mahkamah mengenakan hukuman denda maksimun ketiga-tiga tertuduh berikutan mangsa mengalami kecederaan hingga menerima beberapa jahitan di kepala, jari dan belakang badan.
Tertuduh, Lengeswaran, Thinakaren dan Akkaskumar yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda minimum atas alasan tidak berkemampuan.
Mahkamah kemudian menetapkan ketiga-tiga tertuduh dikenakan denda RM2,000 dan mereka turut berdepan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Sementara itu, bagi lima tertuduh yang tidak mengaku bersalah, Vitthiyeswary menawarkan jaminan RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan memohon tarikh sebutan baharu untuk lantikan peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!