Kekal harga RM7, nasi beriani gam Basir licin dalam tempoh sejam
PONTIAN - Seorang peniaga nasi beriani gam di bazar Ramadan Pekan Parit Betak di sini masih mengekalkan harga RM7 sebungkus sejak dua tahun lalu.
Menariknya, beriani gam dijual Basir Hasan, 55, itu 'licin' dalam tempoh sejam sebaik sahaja gerai dibuka pada jam 4 petang setiap hari.
Basir memberitahu, harga bahan mentah menunjukkan peningkatan seperti bawang merah hampir RM8 sekilogram berbanding sekitar RM4 sebelum ini.
Begitu juga, katanya dengan ayam tua kini berharga RM9 seekor berbanding RM7 seekor pada tahun lepas.
"Masak nasi beriani gam banyak gunakan bahan seperti rempah, yogurt, badam dan gajus. Jika bahan dikurangkan tidak sedap.
"Walaupun banyak harga bahan mentah naik, saya tetap kekalkan harga iaitu nasi beriani gam ayam sebungkus RM7, nasi beriani gam daging RM9 dan nasi beriani kambing RM10," ujarnya ketika ditemui pada Khamis.
Menurut Basir, resipi nasi beriani gam tersebut diwarisi daripada ayahnya Hasan Malilu yang merupakan tukang masak kenduri kahwin di Benut.
"Rempah ratus digunakan merupakan campuran rempah yang dikisar di kedai rempah di Benut.
"Ada ayam yang telah dimasak bersama rempah beriani di bawah nasi yang akan ditanak di atasnya.
“Inilah beriani gam keistimewaan orang Johor, ramai yang cari juadah ini ketika Ramadan,” katanya.
Menurutnya yang sudah 10 tahun berniaga di bazar Ramadan di Pekan Parit Betak, tempahan beriani gam melalui katering yang diusahakan pada hari biasa tidak pernah putus.
“Hari biasa jual juga nasi beriani, tetapi tidak sebanyak seperti bulan puasa. Masak nasi beriani perlu masa antara dua hingga tiga jam.
“Bila dah hujung Ramadan dekat dengan raya, biasanya ada penduduk yang tempah untuk diberikan kepada jiran dan keluarga bagi menyemarakkan lagi budaya 'ngunjung',” katanya.
Tambah Basir, dia juga mahu bersedekah pada bulan Ramadan dan memberi peluang kepada orang ramai merasai nasi beriani gam warisan keluarganya.
"Ada juga yang minta saya tambah jumlah nasi beriani gam yang dimasak pada Ramadan, tetapi saya masih kekal dengan 20 kilogram (kg) beras basmati untuk ayam, daging dan kambing," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!